返回总目录
Apakah sebenarnya Mukjizat Nabi Yunus?
Apakah sebenarnya mukjizat Nabi Yunus?
oleh John Gilchrist
MUKJIZAT NABI YUNUS
MUKJIZAT NABI YUNUS
Menurut kedua-dua Al-Kitab dan Al-Qur'an, Hazrat Isa al-Masih
melakukan banyak mukjizat-mukjizat yang ajaib semasa pelayanan
singkat tiga tahunnya di bumi Palestin. Ramai orang Yahudi
percaya kepadanya setelah menyaksikan keajaiban-keajaiban dan
mukjizat-mukjizat yang dilakukan. Mahupun begitu,
pemimpin-pemimpin rakyat Yahudi enggan percayakan dia dan
walaupun mukjizat-mukjizatnya terkenal luas, mereka sering
memaksanya untuk melakukan mukjizat, mahupun tanda dari syurga
(Matius 16.1). Pada satu ketika, Hazrat Isa menjawab bahawa dia
hanya akan memberi mereka satu mukjizat sahaja:
- "Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu
meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Satu-satunya
mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu adalah
mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari
dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga
Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di
dalam perut bumi.". Matius 12.39-40.
Nabi Yunus ialah satu daripada nabi-nabi bani Israil
termasyhur, dan dia telah dipanggil Allah berkhabar kepada satu
bandar Asyur iaitu Niniwe dan mengisytiharkan kemusnahan yang
bakal menimpa. Akan tetapi Nabi Yunus melarikan diri di atas
sebuah kapal ke Sepanyol, dan apabila angin ribut besar kencang
memukul kapal, dia telah dibuang ke dalam laut lalu ditelan oleh
seekor ikan besar. Namun, setelah tiga hari berada di dalam perut
ikan, dia dimuntah hidup-hidup ke daratan lalu menuju ke bandar.
Hazrat Isa menggelar peristiwa tiga-hari di dalam perut ikan
ini sebagai "Mukjizat Nabi Yunus" dan menyata bahawa
itulah satu-satunya mukjizat yang rela diberinya kepada orang
Yahudi yang enggan percayanya. Sekitar tahun 1976, Ahmed Deedat
dari Islamic Propagation Centre di Durban menerbit
sebuah risalah yang bertajuk "Christ was the Sign of
Jonah?". Tajuk itu mungkin membawa gambaran hasil
penyelidikan teliti mengenai subjek tersebut kepada si pembaca.
Akan tetapi, adalah didapati bahawa Deedat tidak sekali menjawab
soalannya tetapi terus melancarkan serangan ke atas pernyataan
Hazrat Isa itu dan berusaha untuk membidasnya. Hujah-hujahnya
adalah berdasarkan dua andaian, iaitu sekiranya Nabi Yunus hidup
sepanjang masanya di dalam perut ikan, maka Hazrat Isa sudah
tentu masih hidup setelah diturunkan dari salib; dan jika Hazrat
Isa disalibkan pada hari Jumaat dan bangkit pada pagi Ahad, maka
dia tidak mungkin telah berada sepanjang tiga hari dan tiga malam
di dalam kubur. Kita akan menimbangkan kedua-dua andaian ini
menurut turutan dan selepas itu akan mengkaji secara menyeluruh
subjek ini untuk mengenal apakah sebenarnya "Mukjizat Nabi
Yunus" itu.
Adalah satu hakikat di dalam tafsiran-tafsiran Kristian ke
atas kitab Yunus di dalam Al-Kitab bahawa nyawa Nabi Yunus
dikekalkan secara ajaib semasa dia berada di dalam perut ikan di
dalam laut. Sepanjang pengalamannya itu tidak sekali dia mati dan
dia muncul di daratan dalam keadaan hidup sama seperti sebelum
dia dibuang ke dalam maut.
Di dalam bukunya, Deedat telah mengambil beberapa ayat dari
teks di atas luar dari konteks mereka dan menyebabkan pernyataan
itu dibaca "Sebagaimana Yunus telah.... demikianlah Anak
Manusia akan" dan membuat kesimpulan:
- Jika Nabi Yunus hidup selama tiga hari dan tiga malam,
maka Hazrat Isa juga harus hidup di dalam kubur
sebagaimana telah dinubuatnya. (Deedat, Christ was the
Sign of Jonah?, p.6).
Walaupun Hazrat Isa hanya telah berkata bahawa persamaan di
antara dia dengan Nabi Yunus adalah di dalam tempoh mereka akan
mengalami "pengasingan" - Nabi Yunus di dalam perut
ikan, Hazrat Isa di dalam perut bumi - Deedat telah membuang
rujukan yang menerangkan ini dan mendakwa bahawa Hazrat Isa mesti
juga sama seperti Nabi Yunus dalam perkara-perkara yang lain,
seperti keadaan Nabi Yunus yang hidup di dalam perut ikan.
Apabila pernyataan Hazrat Isa dibaca sepenuhnya, adalah jelas
bahawa persamaan hanya terikat kepada faktor masa sahaja. Seperti
Nabi Yunus telah tiga hari dan tiga malam berada di dalam perut
ikan, demikianlah Hazrat Isa akan berada di dalam perut bumi
untuk tempoh yang sama. Perkara ini tidak boleh ditokok-tambah
lagi, seperti apa yang dilakukan Deedat, dan ditafsirkan sebagai
menyatakan bahawa Nabi Yunus dalam keadaan HIDUP di dalam perut
ikan, maka Hazrat Isa juga HIDUP di dalam kubur. Hazrat Isa tidak
menyatakan ini dan penafsiran sebegini tidak timbul daripada
pernyataannya tetapi telah dibaca ke dalamnya. Tambahan pula,
semasa memperkatakan penyalibannya yang bakal menimpa, Hazrat Isa
telah menggunakan ungkapan yang hampir sama, dalam situasi lain
yang menjelaskan hujah kita dengan sempurna:
- "Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada
sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak
Manusia harus ditinggikan" Yahya 3.14
Di sini persamaanya jelas terletak pada
"ditinggikan." Sebagaimana ular gangsa DITINGGIKAN oleh
Musa begitu jugalah Anak Manusia harus DITINGGIKAN, yang satu
untuk penyembuhan orang Yahudi dan yang terkemudian untuk
penyembuhan semua negara. Dalam kes ini, ular gangsa yang digubah
Musa tidak bernyawa dan sekira logik Deedat dikenakan ke atas
ayat ini, kita harus anggap bahawa ini bermaksud bahawa Hazrat
Isa seharusnya sudah mati sebelum dia ditinggikan, mati di atas
salib, dan mati semasa diturunkan dari salib. Bukan sahaja ini
tidak masuk akal, tetapi kontradiksi di dalam keadaan Nabi Yunus
dan ular gangsa (yang pertama sentiasa hidup sepanjang
penderitaannya, dan yang terkemudian sentiasa tidak bernyawa
semasa digunakan sebagai simbol di atas tiang) menunjukkan bahawa
Hazrat Isa hanya membuat perbandingan di antara dia dengan Nabi
Yunus dan ular gangsa masing-masing dalam butir-butir yang
disebutnya dengan terang - TIGA HARI DAN TIGA MALAM dan
DITINGGIKAN di atas tiang. Adalah tidak relevan samada Nabi Yunus
masih hidup atau tidak - ini tidak ada kena-mengena dengan
perbandingan yang dilakukan Hazrat Isa.
Dengan membuang rujukan kepada tempoh di dalam kes Nabi Yunus,
Deedat membuat pernyataan Hazrat Isa dibaca sebagai
"Sebagaimana Yunus...demikianlah Anak Manusia akan" dan
ianya dari perbandingan yang tidak terbatas ini, Deedat cuba
meluaskan perbandingan kepada keadaan nabi yang di dalam perut
ikan. Tetapi jika kita menggunakan metod yang sama ke atas ayat
kedua yang kita gunakan, pemahaman yang bertentangan menjadi
kesimpulan. Dalam kes ini, pernyataan itu boleh dibaca sebagai:
"Sebagaimana ular gangsa... demikianlah Anak Manusia
akan" dan keadaan ular itu sentiasa tidak bernyawa. Ini
jelas menunjukkan bahawa di dalam setiap kes, Hazrat Isa tidak
berniat meluaskan persamaan di antara dia dengan nabi itu atau
objek yang disebutnya kepada soal hidup atau mati, tetapi hanya
kepada perbandingan-perbandingan yang dinyatakannya dengan jelas.
Demikianlah, bantahan pertama Deedat hancur berkecai. Satu
kesimpulan yang bercanggah secara automatik akan berhasil
daripada pendekatannya dan tiada bantahan atau hujah yang
menyahkan diri sendiri boleh berharap diberi perhatian yang
serius.
Orang Kristian di merata-rata setuju dengan sepakat, sehati,
sejiwa (dengan sedikit pengecualian), bahawa Hazrat Isa telah
disalibkan pada hari Jumaat dan dia telah bangkit dari alam maut
pada pagi Ahad setelah itu. Berikutan itu, Deedat mendakwa bahawa
hanya terdapat satu hari di mana Hazrat Isa berada di dalam
kubur, iaitu hari Sabtu dan jangka masa ini termasuk dua malam,
iaitu malam Jumaat dan malam Sabtu. Dia pun berusaha untuk
menyangkal Mukjizat Nabi Yunus berdasarkan faktor masa ini yang
jelas disebut oleh Hazrat Isa dan membuat kesimpulan berikut:
- Kedua, kita mendapati bahawa dia gagal memenuhi faktor
masa juga. Tokoh matematik yang termasyhur di dalam dunia
Kristian akan gagal mendapati keputusan yang dikehendaki
- tiga hari dan tiga malam. (Deedat, What was the Sign of
Jonah, p.10).
Malangnya, di sini, Deedat gagal memerhati bahawa terdapat
perbezaan besar di antara percakapan Ibrani di dalam abad pertama
dan percakapan Inggeris dalam abad kedua puluh. Kita dapati
bahawa dia berulang kali berkecenderungan ke arah kesilapan ini
apabila dia cuba menganalisa subjek-subjek alkitabiah. Dia gagal
membuat pertimbangan kepada hakikat bahawa ketika masa itu,
hampir dua ribu tahun yang lalu, orang Yahudi mengira sebahagian
dari sehari sebagai satu hari yang penuh apabila mengira satu
urutan masa. Semasa Hazrat Isa dikebumikan pada petang hari
Jumaat, berada di dalam kubur sepanjang hari Sabtu dan bangkit
sebelum waktu subur pada hari Ahad (Rasminya, hari Ahad bermula
pada waktu matahari benam pada hari Sabtu mengikut kalendar
Yahudi), tidak timbul persoalan bahawa dia berada di dalam kubur
untuk jangka masa tiga hari.
Kejahilan Deedat mengenai cara pengiraan hari dan malam orang
Yahudi telah mengakibatkan dia membuat kesilapan serius mengenai
pernyataan Hazrat Isa dan dia mengulangi kesilapan yang sama
tentang nubuat bahawa dia akan berada berada di dalam kubur untuk
tiga malam juga. Ungkapan tiga hari dan tiga malam adalah
ungkapan yang kita tidak akan dengar, dengan menggunakan bahasa
Inggeris, pada zaman ini. Oleh itu, adalah jelas bagi kita
mencari maknanya mengikut penggunaannya di dalam bahasa Ibrani
dalam abad pertama, dan kita berkemungkinan membuat kesilapan
jika kita menafsirkannya mengikut struktur bahasa atau umpamaan
di dalam bahasa yang lain, dalam zaman yang terkemudian.
Kita tidak pernah, dalam penggunaan bahasa Inggeris di abad
kedua puluh, bertutur dalam segi hari dan malam. Jika seseorang
itu berhasrat bercuti untuk dua minggu, dia akan kata bahawa
percutian adalah untuk dua minggu atau empat belas hari. Saya
tidak pernah berjumpa dengan sesiapa yang dapat bertutur dalam
bahasa Inggeris bahawa dia akan bercuti selama empat belas hari
dan empat belas malam. Ini adalah satu perumpamaan di dalam
bahasa Ibrani kuno. Oleh itu, sejak dari mula lagi kita harus
mengambil langkah berjaga-jaga, kerana jika kita tidak
menggunakan perumpamaan yang demikian serupa, kita tidak boleh
membuat anggapan bahawa mereka mempunyai, dalam zaman itu, maksud
yang kita akan berikan kepada mereka hari ini. Kita mesti mencari
maksud nubuat yang dibuat Hazrat Isa mengikut konteks masa di
mana ianya telah diberi.
Tambahan pula, kita mesti mengaku bahawa perumpamaan, seperti
yang digunakan di dalam bahasa Ibrani, sentiasa mempunyai
bilangan hari dan malam yang sama. Nabi Musa berpuasa empat puluh
hari dan empat puluh malam (Keluaran 24.18), Nabi Yunus berada di
dalam perut ikan tiga hari dan tiga malam (Yunus 1.17). Kita
lihat bahawa tiada seorang Yahudi yang akan berkata mengenai
"tujuh hari enam malam" atau "tiga hari satu
malam", walaupun ini adalah jangka masa yang dijelaskannya.
Penggunaaan bahasa pada masa dan tempat itu sentiasa menggunakan
bilangan hari dan malam yang sama dan sekiranya seorang Yahudi
ingin membuat rujukan kepada satu masa tiga hari yang meliputi
hanya dua malam, sudah tentu dia akan berkata mengenai tiga hari
dan tiga malam. Satu contoh bagus mengenai perkara ini boleh
dicari di dalam kitab Ester di mana permaisuri bersabda bahawa
tiada sesiapa boleh makan atau minum untuk tiga hari, siang atau
malam (Ester 4.16), tetapi pada hari ketiga, apabila hanya dua
malam telah berlalu, dia telah memasuki bilik tuanku dan puasa
itu telah dihentikan.
Maka jelaslah bagi kita bahawa "tiga hari dan tiga
dalam", dalam penggunaan orang Yahudi tidak semestinya
mengimplikasikan jangka masa sebanyak tiga hari penuh dan tiga
malam penuh tetapi hanyalah satu penggunaan popular yang
digunakan untuk meliputi mana-mana bahagian hari pertama atau
hari ketiga.
Perkara penting di sini ialah bahawa bilangan hari dan malam
yang sama sentiasa diperkatakan, walaupun bilangan malam sebenar
kurang daripada bilangan yang disebut. Oleh kerana kita tidak
menggunakan perumpamaan-perumpamaan sebegini hari ini, kita tidak
harus lekas menghakimi maknanya tersendiri mahupun memaksa maksud
asli yang diinginkan kita ke atas perumpamaan-perumpamaan itu.
Terdapat bukti konklusif di dalam Al-Kitab bahawa semasa
Hazrat Isa memberitahu orang Yahudi bahawa dia akan berada di
dalam perut bumi selama tiga hari dan tiga malam, mereka
menghayati ini sebagai memaksud bahawa pengkabulan nubuat boleh
dijangkakan hanya setelah dua malam. Pada hari selepas
penyalibannya, iaitu hanya selepas satu malam, mereka telah
menghadap Pilatus lalu berkata:
- Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup,
dia pernah berkata, 'Selepas tiga hari Aku akan
dibangkitkan'. Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu
baik-baik sehingga hari ketiga. Matius 27.63-64
Kita akan memahami ungkapan "selepas tiga hari"
sebagai bermaksud bila-bila pada hari keempat tetapi, mengikut
penggunaan tempatan, orang Yahudi tahu bahawa ini merujuk kepada
hari ketiga dan tidak begitu cemas untuk memastikan kubur itu
dikawal baik-baik untuk tiga malam penuh tetapi hanya sehingga
hari ketiga selepas hanya dua malam. Hakikatnya, nyata bahawa
ungkapan-ungkapan "tiga hari dan tiga malam" dan
"selepas tiga hari" tidak bermaksud satu jangka masa
tujuh puluh enam jam sepertimana kita fahami, tetapi sebarang
jangka masa meliputi masa sehingga tiga hari.
Jika seseorang memberitahu kita pada petang Jumaat hari ini,
bahawa dia akan kembali kepada kita selepas tiga hari, kita
mungkin tidak mengharapkan kepulangannya sebelum paling awal,
hari Selasa minggu depan. Namun, orang Yahudi yang benar-benar
mahu untuk menghalang termakbulnya nubuat Hazrat Isa (tidak kira
benar atau palsu), inginkan kubur itu dikawal sehingga hari
ketiga, iaitu, hari Ahad, kerana mereka tahu bahawa
ungkapan-ungkapan "selepas tiga hari" dan "tiga
hari dan tiga malam" tidak membawa maksud secara harfiah
tetapi adalah mengikut simpulan bahasa yang digunakan ketika
zaman itu.
Soalan yang penting ialah bukan cara kita mentafsir penggunaan
ayat ini yang tidak mempunyai tempat dalam penggunaan moden hari
ini tetapi bagaimana orang Yahudi mentafsirnya mengikut maksud
dan istilah zaman mereka. Adalah cukup penting untuk diperhatikan
bahawa apabila pengikut-pengikut Hazrat Isa mendakwa dengan
berani bahawa Hazrat Isa telah bangkit dari alam maut pada hari
ketiga, iaitu, hari Ahad selepas hanya dua malam telah berlalu
(contohnya, Kisah Para Rasul 10.40), tiada sesiapa yang cuba
untuk mempertikaikan kesaksian ini sebagaimana Deedat cuba dengan
mendakwa bahawa tiga malam harus berlalu sebelum nubuat itu
diterima sebagai termakbul. Orang Yahudi zaman itu kenal benar
dengan bahasa mereka and oleh kerana Deedat jahil tentang cara
percakapan mereka, dia menyerang nubuat Hazrat Isa, hanya kerana
dia tidak berada di dalam kubur untuk tempoh tepat tiga hari dan
tiga malam selama tujuh puluh dua jam. (Ini bermaksud,
'persinggahan' Nabi Yunus di dalam perut ikan tidak semestinya
meliputi tiga hari and tiga malam penuh juga).
Oleh itu, setelah hujah lemah Deedat yang menentang mukjizat
Hazrat Isa kepada orang Yahudi dinyahkan, kita boleh menyiasat
apakah sebenarnya Mukjizat Nabi Yunus.
Dua peristiwa penting berlaku apabila Allah mengutus Nabi
Yunus ke bandar Niniwe untuk memberi amaran kepada penduduk kota
itu mengenai kemusnahan bandar itu kerana kejahatannya. Yang
pertama telah kita pertimbangkan, iaitu pembuangan nabi ke dalam
laut dan peristiwa dia berada di dalam perut ikan untuk masa tiga
hari. Adalah berguna kepada kita sekarang untuk memerhatikan
kisah tersebut mengikut cerita di dalam Al-Qu'ran dan
membandingkannya dengan cerita di dalam Al-Kitab untuk memastikan
setakat mana mereka bersetuju. Kisah di dalam Al-Qur'an membaca:
- And lo! Jonah verily was of those sent
(to warn). When he fled unto the laden ship, and then
drew lots and was of those rejected; and the fish
swallowed him while he was blameworthy; And had he not
been one of those who glorify (Allah), He would have
tarried in its belly till the day when they are raised.
Then We cast him on a desert shore while he was sick; and
We caused a tree of gourd to grow above him; and We sent
him to a hundred thousand (folk) or more. And they
believed, therefore We gave them comfort for a while. Surah 37.239-148.
Cerita ini agak terputus-putus kerana tiada urutan
peristiwa-peristiwa yang menunjukkan bagaimana setiap kejadian
berhubung kait dengan kejadian yang seterusnya. Hanya kitab Yunus
di dalam Al-Kitab yang memberi kesinambungan seluruh kisah itu.
Nabi Yunus bersetuju mengambil undi bersama-sama kemudi-kemudi
kapal yang lain untuk mengenalpasti siapakah yang menjadi sebab
ribut yang melanda yang hampir melemaskan mereka. Undi itu jatuh
ke atasnya dan dia telah dibuang ke dalam laut seterusnya ditelah
oleh ikan besar. Selepas tiga hari, ikan itu telah memuntahkannya
ke atas tanah dan dia pun menuju ke bandar Niniwe, dengan
perisytiharan bahawa bandar itu akan dimusnah dalam empat puluh
hari.
Peristiwa yang kedua ialah pertaubatan seluruh penduduk kota
itu, dari rajanya kepada hambanya, apabila mereka mendengar
amaran dahsyat itu. Kejutnya, Nabi Yunus marah apabila dia nampak
penduduk kota bertaubat kerana dia tahu Allah memang pengasih dan
mungkin akan memaafkan bandar itu. Sebagai orang Yahudi yang
patriotik, dia telah berharap untuk kemusnahannya kerana ianya
bandar utama kerajaan Asyur dan merupakan satu ancaman kepada
keselamatan penduduk Israel. Dalam kepanasan yang terik, dia
telah menunggu dan mengharapkan kebinasaannya, lalu Allah
menumbuhkan sejenis tumbuhan yang memberi naungan dan teduh
kepada Nabi Yunus. Tetapi pada hari berikutnya, Allah perintah
seekor ulat untuk melayukan pokok itu. Nabi Yunus marah kerana
hal ini, tetapi Allah berfirman kepadanya:
- Tanaman ini tumbuh dalam satu malam saja, dan layu pada
hari berikutnya; engkau sama sekali tidak menumbuhkannya
atau memeliharanya. Walaupun begitu, engkau berasa
kasihan kepada tanaman ini. Aku pasti lebih kasihan
kepada Niniwe, kota yang besar itu kerana di situ
terdapat lebih daripada 120,000 orang anak ang tidak tahu
memberzakan apa yang baik dan apa yang jahat, dan juga
banyak sekali binatang. Yunus 4.10-11
Peristiwa kedua yang penting ini, iaitu pertaubatan seluruh
kota Niniwe, lebih menakjubkan apabila kita menfaktorkan bahawa
orang Asyur tidak kenal dan tidak takut akan Allah dan tidak
mempunyai sebab jelas kenapa mereka harus mentaati firman dan
amaran yang dibawa oleh Nabi Yunus. Tiada mukjizat bahawa kota
itu akan dibinasakan dalam empat puluh hari sebagaimana
dikhabarkan Yunus kerana kehidupan seharian berjalan seperti
biasa tanpa sebarang tanda dalam perubahan cuaca atau
bencana-bencana yang akan menandakan hampirnya sebarang bahaya.
Tiada awan ribut yang berkumpul di atas kota itu seperti yang
berlaku di zaman nabi Nuh semasa bah besar melanda bumi. Niniwe
ialah bandar kuat dan tidak berada di bawah sebarang ancaman
peperangan. Apa yang didengari oleh kota itu hanyalah suara
seorang nabi Yahudi yang datang mengisytiharkan: Empat puluh hari
lagi, Niniwe akan dihancurkan." (Yunus 3.4)
Kita sering nampak kartun orang tua-tua membawa tanda-tanda
"Dunia akan berakhir hari ini" dan mereka itu satu
sumber ejekan apabila mereka muncul di jalanraya dengan
mesej-mesej sebegini. Memang orang Niniwe mungkin telah
menganggap bahawa nabi Yunus sama seperti orang tua-tua itu dan
senyum sinis ke atas usahanya, dan mungkin menjadi lebih keras
kepala ke atas kandungan amaran-amarannya.
Apabila rasul Paulus melawat kota Athens, dia telah diterima
dengan cara sebegitu. Sebagai balasan kepada khutbah-khutbahnya,
ada sesetengah yang berkata, "Orang ini tahu apa?"
(Kisah Para Rasul 17.18). Penduduk Niniwe yang mendengar nabi
Yunus mungkin telah berpendapat sebagaimana orang Athens melayan
rasul Paulus, "Nampaknya dia bercakap tentang dewa bangsa
asing" (Kisah Para Rasul 17.18). Sebaliknya kita menemui
bahawa:
- Penduduk Niniwe percaya kepada perkhabaran Allah itu.
Segenap rakyat mengambil keputusan untuk berpuasa, dan
semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin, memakan
kain guin untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa
mereka. (Yunus 3.5)
Dari tahkta raja sehingga yang paling rendah sekali di
kalangan rakyat biasa, beratus ribu penduduk Niniwe memandang
serius amaran nabi Yunus, bertaubat dengan kuat sekali, dan mahu
mengubah penghakiman yang bakal tiba ke atas bandar mereka. Yunus
tidak berhasrat untuk meyakinkan mereka mengenai kebenaran
amarannya yang serba ringkas dan mudah - dia hanya menyatakan
sebagai satu hakikat. Dia juga tidak memberi sebarang jaminan
bahawa Allah akan memaafkan mereka jika mereka bertaubat. Adalah
bertentangan dengan hasrat dan niatnya supaya bandar itu akan
dibinasakan samada orang Niniwe percayakan dia atau tidak.
Jadi kenapa seluruh kota itu bertaubat dengan harapan Allah
tidak akan membinasakan mereka? (Yunus 3.9). Para sejarahwan
Yahudi tertarik kepada kisah ini dan membuat kesimpulan bahawa
jawapannya yang satu ialah, bahawa penduduk Niniwe tahu bahawa
Yunus ditelan ikan sebagai penghakiman Allah ke atas
kedegilannya, dan tahu bahawa dalam keadaan biasa Yunus sudah
tentu mati tetapi Allah telah mengekalkan nyawanya dan
membebaskannya dari perut ikan besar itu pada hari ketiga. Hanya
ini sahajalah yang dapat menerangkan keseriusan penduduk Niniwe
mendengar nabi Yunus dan harapan mereka terhadap kasih Allah
sekiranya mereka bertaubat.
Para sejarahwan Yahudi berpendapat bahawa orang Niniwe percaya
sekiranya Allah melayan nabi-nabi yang dikasihi-Nya dengan
dahsyat sekali apabila mereka melanggar-Nya, apakah yang boleh
diharapkan apabila seluruh kota itu benci akan Allah dan berada
di bawah ikatan dosa?
Pendapat orang Yahudi betul. Hazrat Isa mengesahkan bahawa
pertaubatan Niniwe datang kerana pengetahuan mereka mengenai
penderitaan Nabi Yunus. Dengan jelas dia berkata:
- Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk
kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu
tanda bagi orang zaman ini. (Lukas 11.30)
Dengan kata-kata ini, Hazrat Isa mengesahkan kebenaran kisah
pengalaman Nabi Yunus dan pertaubatan kota Niniwe dan mengesahkan
bahawa kisah ini adalah sejarah. Pada masa yang sama dia juga
memberi sokongan kepada teori bahawa orang Niniwe telah dengar
mengenai penderitaan dan penyelamatan Nabi Yunus dan akibatnya,
menerima pesanannya dengan begitu serius, dengan harapan
penyelamatan yang sama dalam perubahan mereka dari kejahatan
dalam pertaubatan kepada Allah. Dengan berkata bahawa Nabi Yunus
menjadi satu tanda kepada penduduk kota Niniwe, dia menjelaskan
bahawa kota itu tahu mengenai layanan Allah terhadap nabi yang
degil itu. Ini menjelaskan keazaman orang Niniwe apabila mereka
bertaubat di depan Allah.
Bukannya niat Hazrat Isa untuk mengesahkan spekulasi orang
Yahudi. Dia ingin menunjukkan bahawa apa yang telah berlaku
ketika zaman Nabi Yunus dan susulannya boleh berlaku kepada orang
Israel dalam zamannya dan tanda yang hampir serupa akan diberi,
yang akan membuka jalan kepada penyelamatan sesiapa yang
menerimanya dan kemusnahan kepada mereka yang tidak.
Menurut kedua-dua Al-Qur'an dan Al-Kitab, Hazrat Isa melakukan
pelbagai mukjizat dan keajaiban di kalangan penduduk Israel
(Surah 5.110, Kisah Para Rasul 2.22). Walaupun mereka tidak dapat
mempertikaikan perbuatan-perbuatang itu (Yahya 11.47), mereka
masih tidak mahu percaya kepadanya sehingga akhir hayatnya.
Semasa dia menamatkan pelayanannya kita mendengar tindakbalas
mereka kepada segala-segala yang dilakukan olehnya kepada mereka:
- Meskipun Dia sudah melakukan semua mukjizat itu di
hadapan mereka. (Yahya 12.37)
Berulang kali kita membaca bahawa orang Yahudi ingin melihat
mukjizat daripadanya (Matius 12.38) dan pada satu ketika mereka
tanyakan dia untuk memberi tanda dari syurga (Matius 16.1). Di
tempat lain, mereka menanyakan dia soalan-soalan seperti begini:
- "Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk
membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti
ini?" (Yahya 2.18)
"Mukjizat apakah yang
dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya
kepada guru?" (Yahya 6.30)
Manakala kebanyakan orang Yunani zaman itu ahli falsafah,
orang Yahudi mahu setiap dakwaan dibuktikan oleh kebolehan untuk
mengerjakan mukjizat. Seperti yang diperkatakan oleh Rasul Paulus
dalam satu suratnya:
- Orang Yahudi menuntut mukjizat sebagai bukti dan orang
Yunani mementingkan kebijaksanaan. (1 Korintus 1.22)
Orang Yahudi tahu betul bahawa Hazrat Isa sedang mendakwa
dalam caranya sendiri bahawa dialah al-Masih iaitu Penyelamat
dari Allah. Jika ianya benar, mereka fikir bahawa dia harus
mengerjakan mukjizat untuk membuktikan dakwaannya. Walaupun dia
telah melakukan pelbagai mukjizat-mukjizat, mereka masih tidak
puas hati. Mereka telah menyaksikan dia memberi makan kepada lima
ribu orang dengan hanya lima buku roti dan dua ekor ikan (Lukas
9.10-17) tetapi mereka pula fikir bahawa Nabi Musa juga telah
mengerjakan mukjizat-mukjizat yang setandingnya (Yahya 6.31).
Dalam cara apakah Hazrat Isa dapat membuktikan bahawa dialah
al-Masih yang terpilih? Tanda apakah yang dapat ditunjukkannya
kepada mereka bahawa dia lebih besar daripada Nabi Musa?
Dalam zaman itu, manusia tidak sedia dipengaruhi oleh
mukjizat-mukjizat dan tanda-tanda ajaib. Apabila tongkat Nabi
Musa ditukar menjadi ular, ahli sihir Firaun mengerjakan perkara
yang sama. Mereka juga meniru perbuatannya mengubah air kepada
darah dan wabak katak dari Sungai Nil. Hanyalah apabila Nabi Musa
menghasilkan agas daripada debu, barulah ahli sihir Firaun
mengaku, "Allah telah melakukan hal ini!" (Keluaran
8.19) kerana mereka gagal melakukan perkara yang sama. Oleh itu
orang Yahudi hanya sedia mempertimbangkan dakwaan-dakwaan Hazrat
Isa jikalau dia dapat melakukan perkara yang lebih besar daripada
nabi-nabi dulu. Mereka saksi kepada dia memberi makan kepada lima
ribu orang, menyembuh pesakit kusta dan orang lahir buta,
mengusir roh jahat, dan akhirnya menghidupkan orang mati walaupun
orang itu sudah mati selama empat hari. Mereka mengaku
mukjizat-mukjizat ini.
Semua ini tidak memuaskan mereka kerana nabi-nabi lain telah
melakukan perkara yang hampir sama. Oleh itu, tanda apakah yang
Hazrat Isa ada yang lebih unggul? Ya jika dialah al-Masih, sudah
tentu dia boleh mengerjakan perkara yang jauh lebih besar
daripada ini? Kenapa pula tidak? Nabi Musa memberi moyang mereka
roti dari syurga untuk dimakan. Seperti nubuat mengenai al-Masih,
dia akan melakukan mukjizat-mukjizat yang hampir sama. (Ulangan
18.18,34.10-11), oleh itu mereka menemui Hazrat Isa akhirnya dan
"meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa
Dia datang daripada Allah." (Matius 16.1). Hazrat Isa
memahami permintaan mereka lalu berkata:
- "Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta
mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali
mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu
tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak
Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman
ini." (Lukas 11.29-30)
Mereka inginkan satu tanda yang akan meleraikan kesangsian
mereka bahawa Hazrat Isa sememangnya al-Masih, Penyelamat dunia.
Di sini, Hazrat Isa menjawab dengan jelas dengan memberikan hanya
satu tanda di mana mereka akan mendapat kepastian
dakwaan-dakwaannya, iaitu mukjizat Nabi Yunus. Walaupun perkara
ini telah disebutkan, adalah berguna kepada kita untuk
mengulanginya:
- Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di
dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan
tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi.
(Matius 12.40)
Rangka dakwaan Hazrat Isa jelas digariskan. Nabi Yunus telah
tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan. Bukan sahaja ini
satu tanda kepada kota Niniwe tetapi ia juga pergambaran awal,
tanda bahawa Hazrat Isa adalah untuk kaumnya dan bukan mereka
sahaja tetapi untuk semua manusia untuk semua zaman. Dia akan
"di dalam perut bumi" untuk tempoh yang sama. Apakah
maksud kesemua ini? Adakah dia akan mati? Kenapakah dia harus di
sana untuk tiga hari? Sudah tentu orang Yahudi pening kepala di
atas dakwaan ini tetapi setiap kali mereka menanya dia untuk satu
tanda, tiada tanda yang dijanjikan kecuali mukjizat Nabi Yunus.
Pada satu hari dia berterus-terang kepada mereka mengenai
maksudnya.
5. "RUNTUHKANLAH RUMAH TUHAN INI, LALU
DALAM TIGA HARI..."
Apabila Hazrat Isa nampak bahawa orang Yahudi sedang
mengubahsuai Rumah Tuhan (tempat menyembah Allah yang masyhur di
mana kemuliaan-Nya ialah tumpuan bandar Yerusalem, dikenal di
dalam Islam sebagai Baitul-Muqaddis) dari sebuah tempat doa ke
tempat berurus niaga, dia telah menghalau penukar wang dan
penjual-penjual kambing biri-biri, lembu dan burung merpati.
Orang Yahudi pun berkata kepadanya:
- "Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk
membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti
ini?" (Yahya 2.18)
Dalam erti kata lain, dengan kuasa siapakah kamu, seorang
manusia, masuk ke dalam Rumah Tuhan yang hidup dan bertindak
seolah-olah kamulah Tuan Rumah? Sekali lagi mereka meminta satu
mukjizat lalu Hazrat Isa menjanjikan mukjizat yang sama:
- "Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari
Aku akan membinanya lagi." (Yahya 2.19)
Sekali lagi Hazrat Isa memberikan mereka Mukjizat Nabi Yunus.
Sekali lagi tersebutlah tempoh tiga hari tetapi dengan tambahan.
Dia mencabar orang Yahudi untuk memusnahkan Rumah Tuhan dan dulu
dia telah berkata mengenai dirinya di dalam perut bumi selama
tiga hari, sekarang dia berkata mengenai Rumah Tuhan diruntuhkan
selama tiga hari sebelum dibina semula. Oleh itu, orang Yahudi
menanya dia:
- "Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk
membina Rumah Tuhan ini! Engkau mahu membinanya lagi
dalam tiga hari?" (Yahya 2.20)
Ini satu soalan bodoh. Mereka meminta untuk satu mukjizat dari
Tuhan untuk mengesahkan tindakan yang diambil oleh Hazrat Isa.
Jika dia telah kata "Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu
dalam empat puluh enam tahun Aku akan membinanya lagi",
apakah ianya satu mukjizat? Tetapi dia kata dia akan melakukannya
dalam tiga hari. Sudah tentu ini satu mukjizat untuk diperhati
dan dihayati oleh mereka, membuktikan bahawa dialah sememangnya
semua yang didakwanya.
Inilah salah satu kenyataan unggul Hazrat Isa dan sekiranya
ada sebarang kenyataannya yang tidak mudah dilupai di dalam minda
orang Yahudi, inilah kenyataan itu.
Semasa Hazrat Isa dibawa untuk dihakimi beberapa tahun
kemudian, dua orang saksi yang dibawa untuk memberi keterangan
menentangnya berkata mengenai kenyataannya itu. Seorang berkata,
"Orang ini berkata, 'Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan
dalam tiga hari Aku dapat membinanya'" (Matius 26.61)
Seorang lagi berkata, "Kami mendengar orang ini berkata,
'Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia,
selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan
manusia.'" (Markus 14.58). Kedua-dua orang ini telah
memutarbelitkan kenyataannya kerana salah faham dan
ketidakupayaan untuk memahami maknanya. Tetapi mereka sedar,
ianya satu kenyataan yang sukar dilupai dan penting!
Sememangnya ketika Hazrat Isa disalibkan, beberapa orang
Yahudi mengejeknya lalu berkata, "Kamu mahu merobohkan Rumah
Tuhan lalu membinanya dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah,
selamatkan dirimu dan turunlah dari salib!" (Matius 27.40).
Demikian juga setelah Hazrat Isa telah naik ke syurga, orang
Yahudi masih memperkatakan cabarannya dan berangan-angan bahawa
adalah kepercayaan Kristian bahawa Hazrat Isa akan kembali
memusnahkan tempat suci mereka (Kisah Para Rasul 6.14)
Tumpuan amat besar yang diberi oleh orang Yahudi kepada
kenyataan "Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga
hari Aku akan membinanya lagi" menunjukkan betapa penting
kenyataan itu. Mahupun orang Yahudi memperolokkannya, mereka
tidak sedar bahawa merekalah yang memusnahkan Rumah Tuhan itu
dengan menyalibkan Hazrat Isa di atas kayu salib; dan tidak sedar
juga bahawa pada hari ketiga mereka akan tahu dia telah bangkit
kembali. Apabila Hazrat Isa berkata "Runtuhkanlah Rumah
Tuhan ini" dia tidak merujuk kepada bangunan yang masyhur di
kota itu tetapi kepada tubuhnya sendiri. Di dalam Injil Yahya,
Yahya mengulas ke atas pernyataan orang Yahudi mengenai bilangan
tahun yang diperlukan untuk membina Rumah Tuhan, "Sebenarnya
Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu, tubuh-Nya
sendiri." (Yahya 2.21)
Hazrat Isa berkata, dialah Anak Manusia, yang akan berada di
dalam perut bumi selama tiga hari dan apabila dia berucap kepada
orang Yahudi, sudah jelas dia tidak bermaksudkan Rumah Tuhan di
kota Yerusalem yang telah disucikannya. Tetapi kenapa dia merujuk
kepada dirinya sebagai Rumah Tuhan? Kita hanya memerlukan sedikit
pemahaman ke atas pelayanan dan identitinya untuk mendapat
jawapannya. Orang Yahudi mahukan dia membukti bahawa dialah
al-Masih dan untuk ini, mengharapkannya memberi mukjizat bahawa
Dia lebih besar daripada semua nabi-nabi dahulukala. Dalam
jawapannya, Hazrat Isa berhasrat untuk menunjukkan bahawa dia
bukan sebarang nabi biasa. Rumah Tuhan di Yerusalem hanya
mengandungi hadirat kemuliaan Allah, tetapi mengenai Hazrat Isa
kita diberitahu:
- Keperibadian Allah juga terdapat sepenuhnya dalam diri
Anak, Kristus itu imej Allah yang tidak dapat dilihat.
Seluruh keperibadian Allah juga terdapat pada diri
Kristus. (Kolose 1.19,15; 2.9)
Perkara sebenar yang dimaksudkan Hazrat Isa ialah: Musnahkan
aku, di mana keperibadian Allah terdapat sepenuhnya, bunuhlah aku
dan dengan membangkitkan diri saya dari maut tiga hari nanti,
akan aku memberi engkau segala bukti yang diperlukan untuk
mengaku aku sebagai Tuan Rumah Tuhan.
Maka jelaslah mengapa Hazrat Isa memberi orang Yahudi satu
tanda, iaitu mukjizat Nabi Yunus. Kematian, pengebumian dan
kebangkitannya dari alam maut pasti membuktikan bahawa dialah
Al-Masih.
Kita sudah lihat bahawa orang Yahudi meminta mukjizat dari
syurga, satu pekerjaan yang lebih unggul daripada apa yang pernah
dilakukan oleh sebarang nabi di dalam sejarah manusia untuk
membuktikan dakwaan-dakwaannya; dan apabila kita melihat kepada
mukjizat-mukjizat nabi-nabi dahulu, kita perhatikan dengan lebih
lagi, signifikasi Mukjizat Nabi Yunus. Seperti yang dibincangkan
awal lagi, sebelum penghakiman dan penahanan Hazrat Isa, mukjizat
terpentingnya ialah membangkitkan Lazarus dari mati selama empat
hari. Tetapi ini tidak dapat meyakinkan orang Yahudi (Yahya
12.911). Perkara sebegini telah dilakukan dalam zaman nabi
Elisha.
Tetapi perbuatan apakah yang boleh dilakukan selain
menghidupkan kembali orang mati? Hanya satu sahaja. Jika orang
itu, selepas mati berupaya membangkitkan dirinya dari alam maut
dan hidup kembali, sudah tentu inilah mukjizat yang lebih besar,
dan mukjizat ini tidak dilakukan oleh sebarang nabi sebelum
Hazrat Isa.
Nabi-nabi hidup telah membangkitkan orang mati tetapi mukjizat
yang dijanjikan Hazrat Isa ialah bahawa al-Masih akan
membangkitkan dirinya dari alam maut. Inilah Mukjizat Nabi Yunus.
Orang Yahudi memperolokkan Hazrat Isa di kaki kayu salib,
"Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya dalam tiga
hari!", tetapi mereka tidak tahu, bahawa selepas meninggal
dunia beberapa jam kemudian Hazrat Isa akan membangkitkan dirinya
dari alam maut pada hari ketiga dengan bukti kukuh bahawa dialah
al-Masih dan rumah tuhan yang paling muktamad, dialah di mana
keperibadian Allah terdapat sepenuhnya di dalam dirinya.
Sebagaimana Nabi Yunus telah kembali dari perut ikan di dalam
lautan dalam untuk hidup di atas bumi, maka Hazrat Isa akan mati,
dikebumikan, dan akhirnya membangkitkan dirinya kembali pada hari
ketiga. Pernah sekali Hazrat Isa menjelaskan mengenai ini kepada
orang Yahudi:
- "Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan
nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali. Tidak
seorang pun yang dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku.
Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya
dan Aku berhak mendapatkannya kembali. Inilah tugas yang
Aku terima daripada Bapa-Ku." (Yahya 10.17-18)
Bukan sahaja Hazrat Isa memudahkan bahawa dia akan
membangkitkan dirinya dari alam maut pada hari ketiga tetapi dia
juga sering menunjuk bahawa dialah lebih besar daripada nabi-nabi
yang sebelumnya. Apabila orang Yahudi bertanya, "Adakah kamu
lebih besar daripada Ibraham?" (Yahya 8.53), Hazrat Isa
menerangkan dengan jelas dengan berkata bahawa Abraham
bersukacita melihat masa kedatangannya (Yahya 8.56) dan menambah,
"Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada." (Yahya
8.58). Dalam cara sama, seorang wanita Samaria berkata kepadanya,
"Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada
Yakub?" (Yahya 4.12) lalu Hazrat Isa menjawab bahawa,
sementara Yakub telah meninggalkan sebuah perigi di tanah Samaria
dari mana orang akan minum tetapi menjadi dahaga semula, dia
dapat meletakkan satu mata air di dalam diri manusia yang
memancar dan orang itu tidak akan dahaga lagi (Yahya 4.14).
Dia menunjukkan bahawa dia lebih besar daripada Nabi Musa,
kerana Nabi Musa menulis mengenainya (Yahya 5.46). Dia lebih
besar daripad Nabi Daud kerana Daud, katanya, "diilhami oleh
Roh Allah, menyebut Penyelamat itu 'Tuhan'" (Matius 22.43).
Dia dengan terang mengatakan bahawa dia lebih besar daripada
nabi-nabi Sulaiman dan Yunus (Lukas 11.31,32) dan dia lebih besar
daripada Rumah Tuhan (Matius 12.6), kerana Rumah Tuhan hanya
mengandungi satu manifestasi kehadiran Tuhan sahaja tetapi di
dalam dirinya, seluruh keperibadian Allah memenuhi.
Tiada manusia yang lebih bijak daripada Nabi Sulaiman tetapi
Hazrat Isa Kebijaksaan Allah (1 Korintus 1.24). Nabi Yunus
menjadi sumber pertaubatan untuk orang Niniwe tetapi Hazrat Isa
sumber segala penyelamatan yang kekal dan sejati untuk sesiapa
yang mentaatinya (Ibrani 5.9)
Walaupun terdapat banyak nabi, hanya terdapat satu
Al-Masih/Penyelamat. Dan di mana nabi-nabi telah melakukan
pelbagai mukjizat, Al-Masih itu melakukan mukjizat yang terunggul
sahaja. Sebagaimana pengalaman Nabi Yunus di dalam perut ikan
memberi gambaran kepada mukjizat itu, iaitu kebangkitan Hazrat
Isa dari alam maut, Hazrat Isa menentukan mukjizat ini sahaja
sebagai bukti bahawa dialah Al-Masih itu.
Ini membawa kita untuk menimbang satu kesimpulan Deedat di
dalam satu risalah lain di mana dia menulis bahawa tidak ada
pernyataan jelas Hazrat Isa di sepanjang kitab-kitab Injil
mengenai penyalibannya selain daripada Mukjizat Nabi Yunus
(Deedat, 'Was Christ Crucified?', ms. 33). Dia membuat kenyataan
ini dalam percubaannya, seperti yang dilakukannya dalam
risalahnya yang dibincangkan, untuk membukti bahawa Hazrat Isa
masih hidup apabila dibawa turun dari salib, sembuh di dalam
kubur dan kembali sihat.
Sekiranya Hazrat Isa dibawa turun dari salib dalam keadaan
hidup dan selamat hanya kerana dia sudah hampir mati dan askar
Romawi sangka dia sudah mati, dan berjaya melalui perjumpaan
sulit dengan pengikut-pengikutnya dan pelbagai penyamaran untuk
kembali sembuh (seperti yang didakwa Deedat), mukjizat apakah
tanda ini? Sekiranya kita harus menerima dakwaan Deedat, kita
mesti membuat kesimpulan bahawa Hazrat Isa terlepas dari maut
kerana nasib dan kembali hidup melalui proses biasa. Ini bukan
lagi satu mukjizat, mahupun yang terunggul di antara segala
mukjizat. Analisa Deedat meninggalkan kita dengan tiada sebarang
mukjizat!
Sebaliknya, jika kita menerima kisah penyaliban di dalam
Al-Kitab dan menerima bahawa Hazrat Isa mati di salib, hanya
untuk membangkitkan dirinya dari maut pada hari ketiga, kita
mempunyai mukjizat yang pasti dan bukti bahawa segala
dakwaan-dakwaannya adalah benar. Nabi-nabi lain telah
membangkitkan orang mati, tetapi Hazrat Isa membangkitkan dirinya
dari maut kepada alam kekal dan sejati, kerana dia telah naik ke
syurga dan berada di sana hampir dua puluh abad. Hanya di dalam
hal inilah kita menghayati maksud Mukjizat Nabi Yunus dan dapat
memahami kenapa Hazrat Isa mengecualikan mukjizat itu sebagai
satu-satunya mukjizat yang dia sedia memberi kepada orang Yahudi.
Oleh itu, kita nampak bahawa hujah Deedat terakhir kepada
teorinya yang Hazrat Isa hidup walaupun disalibkan sebenarnya
merupakan bukti terkukuh menentang hujahnya sendiri. Walaupun
risalah-risalahnya sedang dibidas, perkara ini tidak boleh
dibiarkan kerana mukjizat yang diberi Hazrat Isa mempunyai
implikasi abadi kepada semua manusia di semua zaman. Sebagaimana
pengalaman Nabi Yunus di dalam perut ikan memberi kesaksian
kepada amarannya kepada kota Niniwe, begitulah kematian,
pengebumian dan kebangkitan Hazrat Isa membenar dan membuktikan
misi penyelamatannya kepada semua manusia di semua zaman. Jika
signifikasi dan kepentingan mukjizat ini gagal difahami dan
dihayati oleh kamu, Hazrat Isa tidak memberi mukjizat lain.
Bukti-bukti lain tidak perlu diberikan kepada mereka yang enggan
percaya kepadanya sebagai Tuhan dan Penyelamat.
Namun, kita mempunyai kepastian dan syor kepada mereka yang
berjaya menghayati maksud mukjizat ini dan yang sudah bersedia
untuk percaya dalam Hazrat Isa dan mengikutnya segala hidup
mereka sebagai Tuhan dan Penyelamat; sepertimana tiada jiwa di
Niniwe yang musnah, begitulah juga nyawa kamu sekiranya kamu
menyerahkan segala hidup kamu kepada Hazrat Isa yang mati untuk
kamu dan bangkit dari alam maut pada hari ketiga supaya kamu juga
dapat menikmati hidup abadi bersama-samanya di dalam kerajaan
syurga yang akan diperkenalkan bila dia kembali nanti.
Homepej-homepej Bahasa Melayu dan Indonesia
Answering Islam Main Site (English)