返回总目录
Kaedah Betul Mengkaji Kitab Suci Injil dan Pelayanan Sayidina Isa AM
TELAAHAN MENGENAI SAYIDINA ISA AL-MASIH SECARA WAJAR
Untuk sesiapa pun yang ingin menelaah kehidupan dan pelayanan
Sayidina Isa Al-Masih secara ilmiah, terdapat beberapa sumber yang wajar dan
munasabah dari segi kesuhufan dan sejarah. Ini termasuk bahan-bahan yang wujud
sampai
pada hari ini, bagi tujuan pengkajian dan untuk menelaah perkara tersebut, ini
juga termasuk
kajian transmisi bahan-bahan tersebut dari zaman Sayidina Isa sendiri - zaman
pertama T.M., sehingga ke
waktu penulisan dan catitan Kitab Suci Injil. Semua ini merangkumi Kehidupan,
aspek-aspek penting Pengajaran dan Pelayanan baginda, termasuk segala
peristiwa-peristiwa yang berkenaan dengan baginda. Melalui telahaan seperti
ini, kita akan memperolehi kebolehan khusus untuk menterjemahkan Kitab Suci
Injil/Perjanjnai Baru, secara tepat lagi betul.
Terdapat lima teks utama yang sangat berguna bagi
bagi tujuan yang disebutkan di atas. Yang pertama ialah :
'Synopsis of the Gospels’ oleh Dr.Kurt
Aland (ini adalah di antara bahan utama dan terpenting bagi kajian teks
Perjanjian Baru),
tiga buku lain
ialah karya Dr.Robert Stein yakni:
‘Studying the Synoptic Gospels'
[Telaahan Injil Sinoptik],
'Jesus the Messiah’ [Isa
Al-Masih]
dan
‘The Method and Message of Jesus’ Teaching’
[Kaedah dan Risalah Ajaran Sayidina Isa].
Buku
‘Studying the Synoptic Gospels’ amat berguna untuk memahami bagaimana Perjanjian Baru dan Injil
telah dibentuk dan dikitabkan. Diikuti oleh bagaimana Sayidina Isa telah melaksanakan
ajaran-ajaranNya, dan diakhiri dengan telaahan Kehidupan baginda sendiri.
Teks terakhir ialah: 'The Dictionary of Jesus and the Gospels', disunting
oleh Joel Green. Sumber-sumber dan bahan-bahan ilmiah seperti inilah amat berguna
sekali bagi penelitian dan penelaahan secara ilmiah untuk tahun-tahun yang akan datang.
Bila seseorang mahu mengkaji kehidupan tokoh
sejarah yang tertentu, dia haruslah mencari sumber-sumber asli rekod utama bagi
kehidupan itu. Sebagai contoh, Teks Dr.Stein, yang menelitikan tentang kehidupan
Isa Al-Masih, bukanlah satu sumber yang utama ('primary source'). Ia adalah suatu
contoh 'teks sandaran',
('secondary source/text') yaitu sebuah teks yang berdasarkan kepada teks-teks utama
dan bahan-bahan asli dan sejati yang lain.
Kita mahu mengkaji sumber-sumber utama yang
wujud hari ini bagi meneliti tentang kehidupan Sayidina Al-Masih Isa. Dalam hal itu, ada
dua kumpulan atau kategori teks. Yaitu pertama, teks sumber bukan-Yahudi ('kafir')dan kedua, teks sumber Yahudi. Maksudnya kafir itu bukanlah suatu istilah
ejekan atau jelekan, tetapi untuk menunjukkan sumber non-Yahudi dan non-Kristian.
I. Sumber-sumber
Awal Bukan-Yahudi
I.i Pliny
Terdapat tiga jenis sumber awal
bukan-Yahudi yang berkaitan dengan kehidupan Sayidina Isa Al-Masih. Satu ialah daripada
Pliny, seorang gabenor kerajaan Roma di wilayah Bithinia atau pada
hari ini ialah di negara Turki. Lebih kurang pada tahun 112/113 TM,
beliau telah menulis sepucuk surat kepada Maharaja Roma tentang masalahnya
dengan sekumpulan umat Kristian di wilayah itu. Dia telah berkata seperti
berikut:
“setelah selidiki kumpulan ini, saya mendapati bahawa
secara lazimnya, mereka akan berkumpul bersama-sama pada satu hari minggu yang
tertentu, dan menyanyikan lagu kepada Al-Masih sebagai Ilah.”
Itu sajalah
apa yang kita memperolehi daripada Pliny. Beliau tidak miliki sumber secara
langsung bagi kehidupan Isa Al-Masih, tetapi dia telah dapat memerhatikan
dengan tepatnya amalan-amalan umat Kristian awalan pada zaman itu yang telah
menyembah Sayidina Rabbani Isa.
I.ii Tacitus
Seorang lain bernama Tacitus,
adalah seorang ahli sejarah bangsa Roma. Di dalam karyanya berjudul ‘Annals’
beliau menulis tentang penganiayaan atas umat Kristian pada waktu pemerintahan maharaja (kaisar)
Nero. Dia telah bertulis pada tahun 115 TM bahawa:
“Kristus,
pengasas gerakan itu, telah dijatuhkan hukuman mati di atas salib pada zaman
pemerintahan kaisar Tiberius. Hukuman itu telah dijatuhkan oleh prokuretor (laksamana)
Pontius Pilatus. Dengan ini ajaran itu telah dihentikan buat sementara waktu,
tetapi telah muncul semula bukan saja di wilayah Yudea-kampung halaman ajaran
sesat ini, tetapi juga di ibu kota Roma, di mana segala sesuatu yang anih, pelik dan
jelik dalam dunia ini berkumpul serta dapat ikutan!”
Ada kemungkinan bahawa Tacitus telah
memperolehi maklumat ini bukan hanya daripada orang-orang Kristian di waktu itu,
tetapi sebagai seorang ahli sejarah, beliau telah menyelidiki rekod-rekod
sejarah dan mendapatinya daripada tulisan Pontius Pilatus dalam suratnya kepada
pemerintah Roma. Dari sumber-sumber beginilah, beliau telah memperoleh maklumat
tentang pengikut-pengikut Kristus yang sudah wujud pada zaman itu. Dan maklumat
daripadanya mengesahkan hakikat bahawa Isa Al-Masih telah mati disalib.
I.iii Seutonius
Sumber non-Yahudi (‘kafir’) yang ketiga,
ialah Seutonius, seorang tokoh yang telah menulis karya ’Kehidupan 12
Kaisar’ itu, sekitar tahun 120 T.M. Dalam catatan kehidupan Kaisar
Klaudius, kita dapat rujukan kepada satu peristiwa rusuhan di kota Roma yang
telah terjadi pada tahun 49 T.M. oleh orang-orang Yahudi akibat hasutan seorang
yang bernama ‘Chrestus’. Ini telah berakibat dalam pengusiran semua orang-oang
bangsa Yahudi daripada kota Roma!
Paling menarik sekali ialah, di dalam Kisah
Rasul-rasul, kita juga mendapati rekod peristiwa ini. Dalam Kisah
Rasul-rasul (KRR) 18 ayat 2,
rasul Paulus telah bertemu dengan Priskila dan Akuila di kota Korintus, di mana
kedua-dua orang ini disebutkan oleh Lukas, telah baru datang dari kota Roma
kerana Klaudius telah perintahkan supaya semua umat Yahudi diusir keluar
daripada kota itu.
Kebanyakan ahli-ahli sejarah tidak percaya
bahawa rusuhan pada 49 T.M. itu telah berlaku akibat didalangi oleh seorang yang
bernama ‘Chrestus’, tetapi rusuhan itu telah berlaku di antara umat
Yahudi DENGAN umat Yahudi yang lain yang beragama Kristian; dan pertembungan
mereka ini adalah mengenai Sayidina Isa Al-Masih (‘Chrestus’/Al-Masih). Akibatnya, semua
umat Yahudi telah diusir dari kota Roma, atas titah perintah maharaja Kaisar!
Amat menarik juga ialah dalam satu-satunya
surat rasul Paulus yang ada menyentuh tentang perkara kepatuhan masyarakat kepada
pemerintah, ialah suratnya kepada umat Kristian di kota Roma. Mungkinkah beliau
peka akan peristiwa rusuhan antara umat Kristian Yahudi dengan umat Yahudi bukan-Kristian yang telah berlaku itu, dan dari itu Paulus telah menasihati umat
Kristian di situ supaya jangan berkelakuan sedemikian terhadap kuasa pemerintah
di atas mereka? Ini amat mungkin sekali.
Mengapakah hanya ada 3 sumber non-Yahudi
tentang pergerakan Kristian pada zaman Abad kedua (tahun 115 TM dan sekitarnya)?
Mengapakah tidak ada rekod-rekod ‘para kafir’ lain dan lebih awal yang bersabit
dengan peristiwa sayidina Al-Masih Isa pada waktu itu?
Apabila Sayidina Isa
telah dilahirkan di kota Baitulaham, wakil-wakil penjajah Roma tidak ‘menelefon/SMS serta-merta kepada’ kuasa pemerintah di Roma mengisytiharkan bahawa
“Raja segala raja sudah dilahirkan, Al-Masih yang dijanjikan itu sudah dikirimkan ke
dunia ini dan peristiwa paling besar di dunia sudah terjadi, jadi ubahkanlah
semua kalendar anda pada saat ini!”
Sebaliknya, para ahli sejarah kafir tidak
akan mengambil-tahu tentang peristiwa-peristiwa awalan yang penting dalam
sejarah agama Kristian. Lagi pun, pergerakan Kristian pada waktu itu dikira
sebagai suatu kelompok terpencil dan tidak mustahak. Tetapi, apabila pergerakan
ini mulai merebak dan berkembang pesat di kalangan masyarakat di waktu itu, barulah
para ahli sejarawan kafir (bukan-Kristian) mengambil tahu dan mula mengulas
tentang pergerakan Kristian tersebut.
Walau pun begitu, proses ini mengambil masa
untuk bertumbuh. Dan mengikut data sejarah, para ahli sejarah bukan-Kristian
atau kafir, telah membuat ulasan, catatan serta ulasan-ulasan mereka tentang agama
Kristian, hanya pada dekad yang kedua, abad yang kedua Tahun Masehi.
II.
Sumber-sumber Awal Bangsa Yahudi
Terdapat juga sumber-sumber lain bagi rekod
dan data sejarah pergerakan Kristian yang awal. Sumber-sumber ini juga adalah
dari kumpulan bukan-Kristian yakni dari umat Yahudi dan ahli sejarah Yahudi.
II.i Josephus
Sumber yang termasyhur di antara mereka ialah
seorang bernama Josephus. Josephus telah lahir pada tahun 37 T.M. dan meninggal
dunia pada tahun 100 T.M. Beliau adalah seorang pemimpin ketenteraan umat Yahudi
yang menentang kuasa Roma dalam satu pemberontakan yang berlaku dari 67 T.M. ke
70 T.M. Dalam kejadian itu, beliau telah ditangkap oleh kuasa Roma. Ceritanya
amat menakjubkan.
Apabila beliau telah bertemu dengan
Jenderal-jenderal Vespasian dan Titus, dia telah menanggapi mereka sebagai bakal
pemimpin Roma (kaisar). Mereka pun terpegun dengannya dan menganggapinya sebagai
seorang sejarawan yang disegani, walau pun Josephus merupakan bekas musuh dengan
mereka.
Di dalam karya beliau “Antiquities of
the Jews” (‘Sejarah Umat Yahudi’), Josephus telah mencatatkan
dalam Kitabnya yang ke-18, Bab ketiga, perenggan 3, mengenai Isa Al-Masih
sebagai berikut :
“Pada waktu itu
telah hidup seorang yang penuh dengan hikmat, yang bernama Isa. Dia mungkin
lebih daripada seorang yang berhikmat. Kerana beliau telah melakukan kerja-kerja
ajaib dan menakjubkan, serta mengajar kebenaran kepada sesiapa yang menerimanya
dengan hati yang terbuka..
“Dia telah
mengajar ramai umat Yahudi dan juga umat Yunani. Beliau ialah si Mesias/Al-Masih itu.
Apabila Pilatus telah mendengar tuduhan-tuduhan musuh-musuh beliau yang
berkedudukan tinggi, dia telah menjatuhkan hukuman mati disalib keatasnya.
Mereka yang dari mula-mula telah mengikutinya, tidak mengurangkan kesayangan
mereka bagiNya.
“Pada hari yang
ketiga dari penyalibanNya, Dia telah menjelma kepada pengikut-pengikutNya,
kerana para Nabi-nabi, telah
bernubuat bahawa peristiwa-peristiwa serta perkara-perkara ajaib seperti ini
akan berlaku mengenai-Nya.
“Pengikut-pengikut-Nya serta umat-Nya yang bergelar Kristian itu masih ada
sehingga hari ini, dan mereka masih belum pupus lagi.”
II.ii Talmud,
Mishnah & Gemara
Sumber-sumber Yahudi lain yang ‘bersaksi’ kepada kewujudan dan pelayanan Yesus
Kristus adalah daripada kitab-kitab Talmud. Talmud umat Yahudi pula boleh
dibahagikan kepada dua bahagian – yakni Mishnah dan Gemara.
Mishnah itu adalah tradisi lisan umat Yahudi yang mula-mula telah
diajari dari tahun 200 Sebelum Masihi kemudian, sehingga 200 Tahun Masihi.
Tradisi lisan umat Yahudi ini juga ada
tafsirannya, dan tafsiran-tafsiran ini disebut sebagai ‘Gemara’. Gemara
telah dituliskan dalam Bahasa Aramik, sebaliknya, Mishnah pula
telah dituliskan dalam Bahasa Ibrani (Hebrew). Kedua-dua koleksi ini
digabungkan dalam satu koleksi besar yang disebut sebagai ‘Talmud’. Ada
DUA Talmud yang wujud bagi umat Yahudi. Mereka adalah Talmud Babylonia
(500 T.M.) dan Talmud Yerusalem (400 T.M.). Dalam kedua-dua Talmud
ini, kandungan Mishnahnya adalah pada dasarnya, sama, tetapi kandungan
Gemara mereka adalah berbeda.
Di dalam koleksi
Talmud ini, terdapat kitab-kitab yang disebut sebagai ‘tractate’ –
lebih kurang mirip seperti Buku-buku di dalam Al-Kitab hari ini. Dalam Tractate
inilah terdapat rujukan kepada Yesus Kristus. Misalnya, di dalam tractate
Sanhedrin 43a (yaitu Rujukan tractate Sanhedrin 43a), terdapat pernyataan
ini:
“Pada Hari
sebelum Hari Paskah (Passover), Yeshu (Sayidina Isa) telah dihukum gantung.
Selama 40 hari sebelum hukuman itu dijatuhkan, pewarta telah diutus untuk
memberitahu khalayak ramai bahawa ‘Dia (Isa) akan direjam dengan batu oleh sebab
dia telah mengamalkan ilmu sihir, serta dia telah menggoda Israel untuk menjadi
murtad.
“Sesiapa yang
ingin menyatakan kata-kata pembelaan bagi pihaknya sila tampil kedepan.’
“Tetapi oleh
kerana tidak ada kata-kata pembelaan saksi yang memihak kepada Yesus, beliau
telah digantung pada hari sebelum Hari Paskah.”
“Para
Rabbi (guru-guru Taurat) telah mengajar bahawa Yeshua (Yesus) itu mempunyai lima
orang pengikut; yakni Matthai, Nakkai, Netsah, Boonie dan Todhah.”
Begitulah
sumber agama Yahudi menyenaraikan murid-murid Yesus.
Bolehkah sumber
maklumat Yahudi ini dianggap penting? Boleh jadi juga, tetapi sebaliknya juga,
pernyataan di atas juga merupakan tindak-balas atau reaksi penganut agama Yahudi
yaitu Judaisme terhadap proklamasi atau tuntutan umat Kristian
awalan pada waktu itu.
Umat Kristian
menuntut bahawa Yesus Kristus tidak diberi peluang pembicaraan secara adil dan
saksama. Orang Yahudi pula menafikan hal itu dengan mengatakan Yesus dibicarakan
selama empat-puluh hari, dalam pada mana saksi-saksi telah dicari untuk ‘pembelaannya’.
Rujukan-rujukan
lain juga didapati dalam sumber Tractate Shabbat, yakni
Shabbat 104. Rujukan ini berbunyi demikian :
“Terdapat rujukan kepada seorang putera ‘anak Pandera’
(atau ‘Panthera)’ seperti berikut: ‘Marilah kita kembali kepada kata-kata umat
Yahudi di mana mereka sedang bicara dengan ibunya, yang telah menyatakan
bahawa semasa penghamilannya, dia (si-ibu) telah dihalau keluar dari
rumahtangganya oleh tukang kayu yang telah ditunangkan kepadanya, atas tuduhan
berzina.
”Selepas itu, si-ibu ini telah melahirkan seorang anak lelaki kepada seorang
askar yang bernama ‘Pandera’(‘Panthera).
“Inilah
rupanya penyangkalan penganut agama Yahudi kepada ajaran Kristian zaman
tersebut, yang telah mengajar bahawa Yesus telah dilahirkan oleh seorang
“Parthenos” yakni, seorang dara dan perawan.
” Tetapi, sebaliknya, umat Yahudi telah menafikan itu, dengan usul
balas(counter-claim) mereka bahawa kononnya Yesus dilahirkan kepada seorang
lelaki bernama ‘Panthera’- mereka telah membalikkan huruf konsonan ‘r’
dengan konsonan ‘n’. Hasilnya Yesus bukanlah lahir kepada seorang
perawan (‘Parthenos’), tetapi kepada seorang lelaki bernama ‘Panthera’!
Inilah contoh-contoh dakyah
anti-Kristian di zaman itu, sebenarnya.
Hasilnya, dari
kitab Talmud, kita dapat menyatakan dengan jelas bahawa Yesus telah dilahirkan
oleh Maryam, walaupun orang Yahudi menuduh bahawa Yesus itu adalah ‘anak luar
nikah Panthera’. Dia telah dibicara di depan sidang Sanhedrin sebagai pendusta.
Walau pun dia harus di rejam batu sebagai hukuman lazim bagi ‘kemurtadannya’,
sebaliknya, dia telah digantung (di atas salib) sampai mati.
Dari sumber
Talmud juga, dikatakan bahawa Yesus telah melakukan banyak mukjizat-mukjizat,
tetapi itu semua bukanlah daripada Tuhan, sebaliknya mukjizat-mukjizat tersebut
hasil daripada ‘amalan-amalan sihirnya’; yang telah ‘dipelajarinya di Mesir’
konon. Perhatikanlah kemiripan tuduhan dalam Talmud ini dengan catatan dalam
Injil, bahawa Yesus juga telah dituduh melakukan mukjizatNya dengan ‘kuasa
putera roh-roh jahat’. Talmud juga ada menyatakan tentang perbicaraan Yesus.
Jika
kita mencari dari sumber-sumber ‘bukan-Kristian’, contohnya sumber-sumber Yahudi dan
‘Kafir’, bagi fakta-fakta kehidupan Sayidina Isa, inilah hasilnya. Pendek kata,
hasilnya cukup terhad dan terbatas.
Kesimpulannya
bagi kita ialah, untuk menelaah mengenai kehidupan dan pelayanan Sayidina Isa
Al-Masih secara wajar, berilmiah dan dengan lebih lanjut, kita harus menimba daripada sumber-sumber
ilmiah
Kristian.
Indeks Utama