返回总目录
Kesaksian Chariah
English Version
KESAKSIAN CHARIAH
Saya telah dilahirkan anak lelaki kepada keluarga Muslim di Malaysia.
Keluarga kami mempunyai tradisi keagamaan dan politik yang panjang dan
penting di Malaysia. Sebagai orang-orang kenamaan di dalam sebuah
negara Islam, agama Islam telah memainkan peranan utama dalam semua
aspek kehidupan seharian kami.
Saya telah dibesarkan mengikut adat istiadat Islam, diajar bahasa Arab,
pendidikan Al-Qur'an, upacara-upacara penyucian, doa, puasa dan sebagainya.
Tetapi saya juga mempunyai kesempatan untuk kerap mengembara dan bermastautin
semasa kecil di berbagai-bagai negara asing dan menimba ilmu pengetahuan
mengenai kebudayaan-kebudayaan dan agama-agama yang berlainan. Saya
berpeluang berkenalan dengan penganut-penganut agama Buddha, Hindu, Yahudi,
Kristian dan teramat ingin tahu, yang manakah satu-satunya agama yang betul.
Memang jelas tidak mungkin adanya Allah yang Esa tetapi ada pula pelbagai
jalan untuk mengenal Dia kerana ajaran dan perintah-perintah setiap agama
itu kerap bercanggah; maka tidak mungkinlah Allah yang sama yang memberi
ajaran agama-agama tersebut kepada manusia. Renungilah alam ciptaan-Nya!
Belajarlah hukum-hukum fizik. Setiap hari kita dapat menikmati seorang
Pencipta dengan kebijaksaan, pengetahuan dan logik yang tidak terbatas!
Selanjutnya, Pencipta ini tidak mungkin begitu mengelirukan dan kelam kabut
seperti yang dilambangkan oleh agama-agama di dalam dunia ini.
Saya teringat kepada satu peristiwa ketika berumur enam tahun. Oleh kerana
darjatnya ayah sering ke merata-rata tempat sehingga kadang-kadang saya tidak
bertemu dengannya untuk berbulan-bulan. Pada suatu hari, saya amat merinduinya
dan ingin bertemunya. Terlintas pada fikiran saya pula untuk berdoa kepada
Allah agar membawa ayah pulang. Tetapi pada ketika itu, timbul pula masalah
yang besar! Saya maklum akan bagaimana berdoa dalam bahasa Arab dan juga
upacara penyucian tetapi saya tidak erti langsung bagaimana berdoa kepada
Allah untuk keperluan yang khusus. Saya tidak mampu berdoa kepada Allah
untuk hasrat itu dalam tertib yang berpatutan, disusuli dengan ayat-ayat
yang betul dan teratur bentuknya. Saya hanya mengenal Allah sebagai Tuhan
yang sangat, sangat jauh. Dia Tuhan Kudus yang hanya dapat dijangkau melalui
pendalaman ilmiah Al-Qur'an berserta perintah-perintah di dalamnya, upacara-upacara
penyucian yang betul serta Bahasa Arab yang betul. Sebaliknya, saya mempelajari
bahawa agama Kristian itu sebagai agama yang mudah, berasaskan kasih dan maaf
- yang sentiasa sedia menerima mereka yang lemah dan tidak layak. Saya selalu
kagum apabila menonton filem-filem Kristian semasa kecil. Sebagai contoh,
dalam kisah Quo Vadis, golongan orang Kristian yang ditindas dan diseksa oleh
orang Rom, dengan hati yang rela sedia memaafkan perbuatan orang Rom yang keji
itu. Golongan orang Kristian itu kemudiannya telah dibuang untuk dibaham
singa-singa buas yang lapar di gelanggang perlawanan (amphitheater).
Berhadapan dengan maut, mereka mula memuji dan menyembah Tuhan mereka. Saya
dapat merasai satu tenaga kuat yang tidak dapat dijelaskan tersebar daripada
kumpulan Kristian itu. Mereka lemah, namun kuat. Mereka menghadapi maut,
tetapi pasti akan hidup untuk selama-lamanya. Saya sangat kagum tetapi
juga keliru. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk berdoa dengan neutral
dan memohon kepulangan ayah tidak lewat dari esok.
Pada keesokan harinya, terdapat ketukan di pintu. Ketika saya membuka pintu,
terlihatlah wajah ayah yang bersenyum ke arah saya. Ayah memaklumkan bahawa
dia mahu memeranjatkan kami dengan kepulangannya! Alangkah gembiranya
perasaan saya dan saya tahu bahawa doa saya itu telahpun dikabuli Allah.
Pada waktu itu, saya sudah yakin akan kewujudan Allah. Tetapi masih terletak
pada hati saya azam untuk mengetahui siapakah Allah yang sebenarnya!
Ketika di tanahair, saya dapati bahawa adat istiadat dan hukum-hukum Islam
sukar dituruti. Semasa bulan Ramadan bulan puasa, saya dilarang menelan
air liur. Apabila saya terkentut selepas membersihkan diri sebelum bersembahyang,
haruslah membersihkan diri sekali lagi. Jika pula menguap, ayat-ayat Al-Qur'an
mesti dibaca untuk mencegah diri dari dirasuk oleh makhluk halus yang masuk
melalui mulut. Saya juga dilarang menyentuh anjing, mahupun bermain dengan
anjing mainan. Antara barang kepunyaan saya ialah rantai leher yang terhias
dengan ayat-ayat suci yang mesti ditanggalkan sebelum ke tandas. Terdapat
beribu-ribu lagi perintah-perintah yang harus ditaati sehingga saya menjadi
sangat takut sekiranya melakukan kesilapan dan seterusnya gagal. Maka, saya
tidak dapat menemui ketenteraman jiwa.
Pada satu ketika, saya telah menerima sebuah Al-Kitab dan mula membacanya.
Saya membaca keempat-empat Injil Matius, Markus, Lukas dan Yahya di dalam
Perjanjian Baru. Setiap ayat yang dibaca menyeru kepada hati saya. Saya
dapati bahawa di depan Allah, kita semua pendosa. Tidak kira betapa kuat
dan tekunnya kita cuba memenuhi kehendak hukum-hukum itu, kita tidak mungkin
akan berjaya. Ini kerana Allah itu lebih Kudus dari yang disangka. Cuma
satu dosa memadai dalam hidup kita untuk membatalkan kemasukan kita ke dalam
Syurga. Tambahan pula saya mengakui bahawa saya telah berdosa sekurang-kurangnya
sekali di dalam hidup saya. Tetapi Allah telahpun berfirman: (Efesus 2:8)
"Hal ini demikian, kerana dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab
kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri,
melainkan kurnia Allah."
***
Pada satu hari, ayah dan saya sakit tenat. Saya telah menemui beberapa orang
doktor, tetapi mereka semua tidak berjaya menentukan jenis penyakit itu.
Biarpun saya memakan semua ubat yang diberikan, saya merasa letih dari hari
ke hari. Saya telah hilang berat badan sebanyak dua belas kilogram dan terasa
bahawa sudah hampir tiba masanya untuk menemu ajal. Kemudian barulah saya
mula berdoa kepada Allah. Saya mengaku segala dosa-dosa saya dan memohon
ampun dari Allah. Saya menerima korban yang diberi Allah melalui anaknya
Yesus Al-Masih dan kematian Yesus sebagai ganti saya untuk dosa-dosa saya.
Walaupun saya tidak terdaya untuk makan, berdiri atau melakukan apa-apa
perkara yang fizikal - saya berupaya untuk berdoa dan bersedia untuk bertemu
dihakim-Nya pada Hari Kiamat buat selama-lamanya. Memanglah menjadi hasrat
saya untuk ke syurga.
Setelah empat atau lima hari terlantar di dalam bilik tanpa rawatan, saya
dimasukkan ke dalam hospital. Di masa yang sama, ayah dimasukkan ke dalam
Unit Rawatan Rapi (ICU). Pada satu pagi, saudara-mara saya telah mengejutkan
saya dari tidur dan menyampaikan berita sedih bahawa ayah telahpun meninggal
dunia...
Punca rasmi kematian arwah ayah ialah kerana lemah jantung. Tetapi sebenarnya,
doktor-doktor tidak dapat mengenal pasti punca penyakit yang dihidapi kedua-dua
ayah dan saya. Terdapat khabar angin bahawa kami berdua telah diracun ataupun
mangsa-mangsa ilmu sihir. Saya percaya bahawa saya masih hidup kerana firman-Nya
di dalam Markus 16:17-18 yang berbunyi "Kepada mereka yang percaya akan diberi
tanda-tanda ini: Mereka akan mengusir roh jahat demi nama-Ku; mereka akan
berkata-kata dalam bahasa yang tidak diketahui. Jika mereka memegang ular
atau meminum racun, mereka tidak akan mendapat celaka. Jika mereka
meletakkan tangan pada orang sakit, orang sakit akan sembuh"
Beberapa tahun kemudian saya telah menghidap penyakit batin pula dan pakar
psikologi tidak dapat membantu saya. Saya terkenang akan kepada Allah,
yang mampu menolong dalam situasi-situasi yang rumit; Allah yang menyebabkan
orang yang beriman kepada-Nya rela memaafkan musuh-musuh mereka dan menyembah
Dia ketika berhadapan maut di gelanggang lawan itu (amphitheater); Allah yang
mampu memulihkan apabila seorang itu terminum racun dan juga yang rela membantu
ketika kemasyghulan. Secara kebetulan isteri saya telah membawa saya ke
upacara ibadat seorang Evangelist (pengkhabar Berita Baik) Amerika (Ray Jennings).
Di sanalah kami sekeluarga menukar kepercayaan kepada agama Kristian.
Si Evangelist itu menumpangkan tangannya di atas saya lalu berdoa untuk
penyembuhan saya. Dengan serta-merta, saya dipulihkan menurut firman Allah:
"Kepada mereka yang percaya akan diberi tanda-tanda ini: ... jika mereka
meletakkan tangan pada orang sakit, orang sakit akan sembuh"
Pada hari ini saya bergerak dengan kehadiran Allah dalam hidup saya dan saya
tahu bahawa Dia bersama saya. Kerana itu, saya mahu kamu tahu, wahai si
pembaca Muslim, bahawa Allah yang Esa dan benar yang diperkisahkan Al-Kitab
itu akan juga bersama-sama kamu apabila kamu membuat keputusan untuk mengikut
cara yang ditunjukkan Isa.
More Testimonies
Homepej-homepej Bahasa Melayu dan Indonesia