{ Fasal 1 }
- Diberkatilah orang, yang tidak berjalan menurut bimbingan orang durjana
atau berdiri di jalan orang berdosa
atau duduk di kerusi orang yang mengejek.
- Tetapi dia bersukacita dengan hukum Tuhan,
dan tentang hukum-Nya dia berfikir siang malam.
- Dia seperti pohon yang ditanam di tepi perairan,
yang menghasilkan buahnya pada musimnya
dan daunnya tidak layu.
Apa sahaja yang dilakukannya berjaya.
- Tidak demikian orang durjana!
Mereka seperti sekam
yang dilayangkan angin.
- Oleh itu orang durjana tidak akan bertahan dalam penghakiman
begitu juga orang berdosa dalam perhimpunan orang benar.
- Kerana Tuhan menaungi jalan orang benar,
tetapi jalan orang durjana akan binasa.
{ Fasal 2 }
- Mengapakah bangsa-bangsa berpakat
dan kaum-kaum berkomplot dengan sia-sia?
- Raja-raja bumi ini menegakkan pendirian
dan para pemerintah bermuafakat
untuk melawan Tuhan
dan melawan Dia yang Disucikan-Nya,
- Mereka berkata, "Mari kita putuskan rantai pengikat mereka
Dan buangkan belenggu mereka."
- Dia yang bertakhta di Syurga tertawa;
Tuhan mencemuh mereka,
- Kemudian menegur mereka dalam kemarahan-Nya
dan menakutkan mereka dalam kemurkaan-Nya,
sambil berfirman,
- "Aku telah menabalkan Raja-Ku
di atas Sion, Bukit suci-Ku."
- Aku akan mengisytiharkan firman Tuhan:
Dia berfirman kepadaku,
"Engkaulah Putera-Ku;
Hari ini Aku telah menjadi Bapamu"
- Mintalah daripada-Ku,
Aku akan menjadikan segala bangsa warisanmu,
dan setiap pelosok bumi ini milikmu.
- Engkau akan memerintah mereka dengan tongkat besi
dan menghancurkan mereka seperti tembikar.
- Oleh itu, hai kamu raja-raja, bijaksanalah;
berhati-hatilah, kamu para pemerintah bumi.
- Layanlah Tuhan dengan rasa takut
dan bersukacitalah dengan gementar.
- Ciumlah Anak itu, jangan sampai Dia marah
lalu kamu dibinasakan di jalan,
kerana kemurkaan-Nya boleh menyala dalam sesaat.
Diberkatilah semua orang yang bernaung kepada-Nya.
{ Fasal 3 }
- Ya Tuhan, betapa banyaknya musuhku!
Betapa banyak yang bangkit melawanku!
- Banyak yang berkata tentangku,
"Allah tidak akan menyelamatkannya."
- Tetapi Engkau adalah perisai melindungiku, Ya Tuhan;
Engkau mengurniakan kemuliaan dan mengangkat kepalaku,
- Kepada Tuhan aku berseru lantang,
dan Dia menyahut seruan dari gunung suci-Nya.
- Aku baring dan tidur;
Aku terjaga semula, kerana Tuhan memeliharaku.
- Aku tidak akan takut terhadap puluhan ribu
yang bersiap sedia melawanku di setiap pihak.
- Bangkitlah, Ya Tuhan!
Selamatkanlah aku, Ya Allah Tuhanku!
Palulah semua musuhku di tulang rahangnya;
patahkanlah gigi orang durjana.
- Daripada Tuhan datang penyelamatan.
Semoga berkat-Mu di atas umat-Mu.
{ Fasal 4 }
- Jawablah apabila aku berseru kepada-Mu,
Ya Allah Tuhanku yang benar,
Kurangkan penderitaanku;
kasihanilah aku dan dengan doaku.
- Berapa lamakah, hai manusia,
engkau akan terus menjadikan kemuliaanku keaiban?
Berapa lamakah kamu akan mencintai bayangan maya
dan mencari tuhan-tuhan palsu?
- Ketahuilah, Tuhan telah memilih orang salih untuk diri-Nya;
Tuhan akan mendengar apabila aku berseru kepada-Nya.
- Dalam kemarahanmu janganlah melakukan dosa;
ketika di tempat tidurmu,
sorotilah hatimu dalam senyap sepi.
- Persembahkan korban-korban yang wajar
dan percayalah kepada Tuhan.
- Banyak yang bertanya," Siapa dapat menunjukkan kita kebaikan?
Sinari kami dengan cahaya wajah-Mu, Ya Tuhan.
- Engkau telah memenuhi hatiku dengan kegembiraan
lebih daripada ketika bijiran dan khamar baru mewah melimpahnya.
- Aku akan berbaring dan tidur dalam sejahtera,
kerana hanya Engkau, Ya Tuhan,
membolehkan aku tinggal dalam selamat.
{ Fasal 5 }
- Dengarlah kata-kataku, Ya Tuhan,
pertimbangkan keluhanku.
- Dengarlah jeritanku meminta tolong,
wahai Rajaku dan Allah Tuhanku,
kerana kepada-Mu aku berdoa.
- Pada waktu pagi, Ya Tuhan, Kau dengar suaraku;
pada waktu pagi kurafakkan permohonanku
ke hadirat-Mu
lalu menanti dengan harapan.
- Engkau bukanlah Tuhan yang suka akan kejahatan;
Dengan-Mu orang durjana tidak dapat tinggal.
- Orang tidak dapat berdiri di hadrat-Mu;
Engkau benci akan semua yang berbuat jahat.
- Engkau membinasakan orang yang berdusta;
orang yang suka menumpahkan darah dan memperdaya
dibenci oleh Tuhan.
- Tetapi aku, dengan limpah belas kasihan-Mu,
akan masuk ke rumah-Mu;
dengan sepenuh hormat aku akan tunduk
ke arah rumah ibadat-Mu yang suci.
- Pimpinlah KU, Ya Tuhan, dalam kebenaran-Mu
kerana musuh-musuhku -
luruskanlah jalan-Mu di hadapanku.
- Tiada sepatah kata pun dari mulut mereka dapat dipercayai;
hati mereka dipenuhi pembinasaan.
Kerongkong mereka seperti kubur terbuka
lidah mereka menuturkan tipu daya.
- Isytiharkan mereka bersalah, Ya Tuhan!
Biarkan pakatan sulit mereka menjatuhkan mereka
Singkirkan mereka kerana dosa mereka yang banyak,
kerana mereka telah menderhaka terhadap-Mu.
- Tetapi biarlah semua orang bernaung kepada-Mu bersukacita;
biar mereka sentiasa bernyanyi kegembiraan.
Berilah mereka perlindunganmu,
supaya orang yang mengasihi nama-Mu
dapat bersukacita kerana-Mu.
- Kerana tentulah, Ya Tuhan,
Engkau melindungi mereka dengan kemurahan-Mu
seperti dengan perisai.
{ Fasal 6 }
- Ya Tuhan, janganlah menempelak aku dalam kemarahan-Mu
atau menghukum aku dalam kemurkaan-Mu.
- Kasihanilah aku, Ya Tuhan, kerana aku sudah longlai;
Ya Tuhan, sembuhkah aku, kerana
tulang-tulangku terseksa.
- Jiwaku gundah-gulana.
Berapa lama, Ya Tuhan, berapa lama?
- Berpalinglah semula kepadaku, Ya Tuhan,
dan lepaskan aku;
selamatkan aku kerana kasih-Mu yang kekal.
- Tiada siapa mengingati-Mu setelah dia mati.
Siapa yang memuji-Mu dari kubur?
- Aku letih lesu daripada mengerang;
sepanjang malam kubanjiri
tempat tidurku dengan tangisan
dan kubasahi tilamku dengan air mataku.
- Mataku menjadi lemah dengan kesedihan;
Dan semakin kelam kerana sekatan musuhku.
- Pergi jauh dariku, kamu semua yang berbuat jahat,
kerana Tuhan telah mendengar tangisanku.
- Tuhan telah mendengar jeritanku memohon belas kasihan;
Tuhan menerima doaku.
- Semua musuhku akan malu dan kecewa;
mereka akan berpatah balik
dalam keaiban yang tiba-tiba.
{ Fasal 7 }
- Ya Allah Ya Tuhanku, kepada-Mu aku bernaung;
selamatkan dan lepaskan aku
daripada semua yang memburuku,
- atau mereka akan mengoyak-ngoyakkanku
seperti seekor singa
dan mencarik-carikku
tanpa sesiapa menyelamatkanku.
- Ya Allah Ya Tuhanku, jika aku telah melakukan ini
dan tanganku bergelumang dosa -
- jika aku telah berbuat jahat kepada seseorang
yang baik denganku
atau tanpa sebab aku telah
merampas milik musuhku -
- maka biarlah musuhku memburu dan menangkapku;
biar dia melanyak nyawaku ke tanah
dan membuatku tidur dalam debu.
- Bangkitlah, Ya Tuhan, dalam kemarahan-Mu;
bangun melawan keberangan para musuhku.
Jagalah, ya Tuhanku; firmankan keadilan.
- Biarlah perhimpunan kaum-kaum mengelilingi-Mu
Perintahlah mereka dari tempat-Mu yang tinggi;
- Biar Tuhan menghakimi segala kaum.
Hakimi aku, Ya Tuhan, berasaskan kebenaranku,
berasaskan ketulusanku, Ya Tuhan Maha Tinggi.
- Ya Allah Tuhan Yang Benar,
yang menyoroti fikiran dan hati,
tamatkan keganasan orang durjana
dan pastikan keselamatan orang yang benar.
- Perisaiku Allah Maha Tinggi,
yang menyelamatkan orang jujur.
- Allah hakim yang benar,
Allah menunjukkan kemurkaan-Nya
setiap hari.
- Jika Dia tidak memaafkan,
Dia akan mengasah pedang-Nya;
Dia akan memasang panah-Nya.
- Dia telah menyiapkan senjata-senjata-Nya
yang membawa maut;
Dia menyediakan anak-anak panah-Nya
yang menyala.
- Orang yang menghamilkan kejahatan
dan membenihkan kekacauan
akan melahirkan kekecewaan.
- Orang yang menggali lubang
akan jatuh ke dalam lubang yang digalinya.
- Kekacauan yang disebabkannya
akan memantul ke atas dirinya;
keganasannya menimpa kepalanya sendiri.
- Aku akan mengucap syukur kepada Tuhan
kerana kebenaran-Nya,
dan akan menyanyikan pujian
kepada nama Tuhan Maha Tinggi.
Amin!