返回总目录
Kuasa Tuhan Yang Sebenar
Kuasa Tuhan Yang
Sebenar
Nama saya Rabiyah dan saya berasal
dari sebuah keluarga Islam Ortodoks. Ayah saya seorang yang amat
alim dan bertugas sebagai Imam di masjid kota saya. Dia adalah
seorang ahli sunnah berketurunan India utara, namanya bermula
sebagai "Pir Muhammad" oleh kerana
itu, sebagai seorang yang bergelar Pir dia disegani
ramai umat Islam di Kota kami. Lebih daripada itu, dia juga
berketurunan keluarga "Shahib".
Ibu saya pula seorang Melayu yang
cukup kuat ketakwaannya kepada Allah, oleh sebab pengaruh amalan tasawwuf
dalam kehidupannya. Sudah tentulah kedua-dua ibu bapa saya telah
bermain pengaruh ajaran dan amalan Islam yang besar di dalam
kehidupan saya.
Tugas-tugas ayah saya sebagai Imam
melibatkan mengadakan kelas-kelas pengajaran al-Quran, bimbingan
akidah dan keagamaan bagi muda-mudi dan juga bagi Muslimin dan
Muslimah dewasa. Sudah tentu, dia juga akan mengimamkan para
Muslim lain semasa sembahyang solat di dalam masjid. Ayah saya
juga menyandang tugas dan peranan menyempurnakan upacara
pengkebumian mereka yang telah meninggal dunia; dia juga telah
sempurnakan banyak upacara-upacara perkahwinan para Muslim.
Sebagai seorang Imam Masjid, bapa
saya amat berpengaruh dan disegani para mukminin di kota saya.
Ramai orang akan mengunujungnya untuk didoakan dan juga mencari
penyelesaian bagi masalah-masalah dan kemusykilan keagamaan
mereka.Tidak kurang juga yang datang meminta pertolongannya
semasa masalah-masalah peribadi mereka, seperti penyakit diantara
ahli keluarga mereka, menyelesaikan pergaduhan dan
pertelingkahan, perlindungan daripada musibah-musibah dan
sebagainya. Misalnya, ayah akan menulis ayat-ayat Al-Quran pada
kertas-kertas kecil dan diberikannya kepada mereka yang
memerlukannya untuk disimpan supaya dilindungi daripada
kecelakaan yang tidak diingini seperti penyakit, kerasukan
jin-jin, kehilangan sumber pergantungan, dan sebagainya! Ada juga
mereka yang mengambil air bunga yang akan didoakannya untuk
digunakan sebagai air mandi bagi mereka yang perlukannya.
Ayah saya juga amat menyayangi
abang saya dan ayah telah mengharapkan supaya abang saya akan
mengambil alih tempatnya sebagai Imam dan pemimpin umatnya di
tempat kami. Akan tetapi ini tidak berlaku oleh kerana abang saya
telah meninggal dunia secara mengejut apabila saya meningkat usia
18 tahun. Sejak peristiwa itu, ayah telah mengalami kesedihan
yang amat sangat sehingga kehilangan azamnya untuk melayani
mereka yang telah mengunjung ke rumah saya bagi mendapat
pertolongan daripadanya. Oleh sebab keadaan ini, saya telah
meningkatkan penglibatan saya didalam upacara-upacara ayah saya
untuk melayani para Muslim yang telah mengunjungi kami mencari
pertolongan. Dalam cara ini, saya telah mendalami pengetahuan
serta pengilmuan saya dalam Islam dan pelayanannya.
Didalam ruang kebun rumah kami
terdapat sepohon pokok yang rendang. Pohon ini ada
keistimewaannya bagi ayah saya. Tetapi pokok ini bertumbuh
terlalu dekat dengan pagar rumah jiran kami. Jadi,
cabang-cabangnya dan juga ranting-rantingnya telah mengular
secara perlahan-lahan memasuki kawasan rumah jiran kami. Suatu
hari, jiran kami itu telah meminta supaya cabang-cabang pokok itu
ditebang, dan ayah telah menjawabnya untuk menebang pokok itu
dengan sendiri jika dia kehendaki! Jadi pada hari keesokannya
jiran itu telah datang dengan sahabat-sahabatnya untuk menebas
pokok didalam kebun saya itu. Akan tetapi, mereka tidak dapat
menebangnya; tetapi sebaliknya pula, orang yang telah mencuba
memotongnya telah mengalami kecederaan pula! Ayah memberitahu
saya secara senyap bahawa pokok itu tidak dapat ditebang jika
ayah saya tidak membenarkannya!
Pada satu malam, saya telah
mencuba 'berbual' dengan pokok itu. Saya telah memohon 'roh' yang
menumpang didalam pokok dikebun saya itu supaya 'berpindah'
kedalam suatu pohon pokok yang lain dikebun saya. Saya telah
mengalas beberapa biji telur rebus dan sepinggan nasi kunyit di
kaki pokok yang baru 'diinapi' itu. Pada hari keesokannya pula,
pokok yang pertama itu dapat ditebang dengan jayanya oleh jiran
saya! Ayah telah menjadi sungguh heran sekali diatas peristiwa
itu, kerana dia belum 'memberi arahan keluar rumah' kepada pokok
itu! Jadi, melalui peristiwa inilah ayah telah menyadari yang
saya juga memiliki kebolehan rohani yang unik ini. Tidak lama
kemudian, ayah telah meninggal dunia.
Selepas peristiwa pahit kematian
ayah saya, saya telah keluar bekerja sebagai seorang guru di
sebuah sekolah perniagaan (komersil) bagi menanggung sara hidup
keluarga saya. Sebagai seorang anak perempuan seorang bekas Imam
masjid, saya telah menurut peraturan-peraturan Islam
secukup-cukupnya apabila keluar dari rumah. Selain daripada
menutup aurat dengan bertudung, saya juga bersarung tangan serta
berstokin sepenuhnya! Di tempat kerja saya itu saya telah bersua
dengan seorang guru wanita Kristian yang tidak habis-habis
bercakap mengenai Tuhannya sahaja! Sepertimana yang kamu boleh
sangkakan dengan mudah - saya telah cuba mengelak dari berkenalan
dengannya kerana saya begitu tidak berminat sekali di dalam
cerita-cerita Tuhan umat Kristian. (Akan tetapi sebaliknya, Tuhan
telah menyentuh hati wanita Kristian ini supaya berdoa untuk saya
selama sepuluh tahun tanpa pengetahuan saya!)
Dua tahun setelah saya tinggalkan
kolej itu, saya telah mengidap sejenis penyakit yang serius.
Namanya dalam bahasa Inggeris: Rheumatoid Osteo Arthritis. Penyakit
ini membengkakkan sendi-sendi di tulang-temulang saya.
Tulang-tulang saya pula menjadi kudung dengan perlahannya. Ia
juga menyerang sel-sel darah merah saya dengan mengurangkan
pengeluaran mereka, sambil memperbanyakkan sel-sel darah putih
secara abnormal. Doktor dan pakar-pakar perubatan telah
memberi ramalan jangka hayat saya untuk hidup hanya selama tiga
bulan lagi!
Apabila mendengar berita buruk
itu, dunia saya telah hancur berkecai! Selama ini saya telah
berikhtiar hidup sebagai hamba Allah yang taat dan setia.
Misalnya, saya tidak sekalipun meninggalkan doa-doa solat lima
kali sehari selama ini, saya juga seringnya berpuasa lima puluh
hari menjelang bulan puasa, jauh lebih banyak daripada yang wajib
bagi seorang muslimah. Kali ini saya dicabar bertawakal pula bagi
kesihatan saya! Meski pun begitu, suara hati saya telah
mengerakkan saya untuk berhubung dengan wanita Nasrani yang
menjadi rakan sekerja saya dahulu! Sudah dua tahun lamanya saya
tidak bersua dengannya.
Alangkah ajaib dan aneh sekali
apabila saya telah menerima panggilan telefon daripada wanita
ini!! Setelah dua tahun lamanya tidak berhubung, apatah lagi saya
tidak mempunyai nombor telefonnya! Bagi saya,ini tidak lain tidak
bukan satu mukjizat Tuhan namanya! Bekas rakan sekerja saya ini
telah bertanya :"Apa khabar dengan kamu?" Saya
terus berkata kepadanya yang saya mesti bertemu dengannya secepat
mungkin. Lalu saya dijemput kerumahnya pada saat itu juga.
Di rumah wanita Kristian
yang alim ini, saya telah memberitahunya tentang keadaan penyakit
tenat yang saya hidapi itu. Air mata saya menitis
berlinang-linang semasa saya meluahkan kekeciwaan dan perasaan
putus asa saya kerana mempunyai hanya tiga bulan berhayat di muka
bumi ini, walaupun saya telah begitu bertakwa dan taat setia
kepada jalan Allah dan sunnah-Nya. Kawan saya telah mendengar
segala-galanya dengan sabar, sambil membuat secawan t eh untuk
saya.
Sesudah saya habis menceritakan
kepada kawan saya ini saya telah meminta untuk didoakan. Dia pun
bersetuju dan telah berdoa bagi saya seperti berikut:
"Ya Rabbi Tuhan kami,
anak-Mu sudah pun kembali kepangkuan-Mu, bukalah matanya dan tunjukilah
kepadanya siapakah sebenar-Nya Engkau."
Selepas doa itu, saya merasa
keciwa oleh sebab doanya begitu singkat! Saya pun pulanglah
ke rumah saya tanpa meminum minuman yang disediakan untuk saya
itu. Pada keesokan hari itu pula saya telah pergi ke Hospital
Besar untuk menepati temu-janji dengan doktor-doktor saya. Di
hospital, saya diperiksa dengan terperinici dari kepala ke tapak
kaki saya! Saya diX-Raykan beberapa kali dan juga dikenakan
bermacam-macam ujian darah berkali-kali. Menjelang petang hari
saya tidak dibenarkan pulang ke rumah, malah dikenakan X-Ray dan
beberapa ujian lagi! Lepas itu pula saya ditemu-bual(interviu)
dengan pakar-pakar yang sedang mengubati saya.
Mereka menanyakan jikalau saya ada
diubati oleh doktor-doktor atau pakar yang lain, saya pun
menjawab 'Tidak' kepada soalan mereka ini.
Pakar-pakar perubatan ini
mengeluarkla 2 keping X-Ray yang berlainan dan menunjukkan kepada
saya. Satu keping X-ray itu telah diambil beberapa minggu yang
lalu. Imej rangka tulang didalamnya nampak berkudung semuanya.
Tetapi, imej didalam keping-keping X-ray yang diambil pada hari
itu menunjukkan semua tulang-temulang saya sudah kembali NORMAL!
Ini bererti bahawa saya sudah pun DISEMBUH! Puji Tuhan
Alhamdulillah!
Sesudah disahkan oleh doktor dan
pakar-pakar Hospital Besar, saya pun menelefon kawan Nasrani saya
itu untuk memberitahukannya berita yang sungguh baik ini.
Responsnya pula adalah "Saya pun sudah tahu akan
keputusannya! Tuhan Allah telah mendedahkannya kepada saya."
Alangkah lega dan ringannya rasa
hati saya minggu selepas itu! Hati dan jiwa saya begitu kehausan
untuk mengenali Tuhan umat Nasrani yang telah menjadi Penyembuh
saya itu! Saya kira pada minggu itu saya telah membaca Kitab Suci
Injil lebih lima puluh kali! Terutama sekali kisah
riwayat Al-Masih 'Isa ibnu Maryam yang terkandung di dalamnya.
Pada penghujung minggu itu pula,
saya telah masuk ruang dapur di rumah untuk berdoa dan
merenungkan firman Tuhan yang telah saya bacakan. Tiba-tiba satu
cahaya warna kuning yang amat terang selubungi ruang dapur itu.
Dalam cahaya terang itu saya dapat lihat dengan jelas rupa 'Isa
al-Masih yang berwarna putih telah menjelma didepan mata saya.
Lalu saya mendengar kata-katanya yang ditujukan kepada saya : "Saya
bersama-sama denganmu, janganlah kamu takut atau khuatir."
Pada ketika itu juga, Tuhan telah
membenarkan saya mengalami suatu pengalaman imbasan kembali yang
sungguh menakjubkan. Tuhan mengingatkan kepada saya dua peristiwa
dalam kehidupan saya dimana saya telah nyaris-nyaris mengambil
nyawa saya sendiri! Bagaimanakah dapat saya menjunam
sedalam-dalamnya lembah kekeciwaan seperti itu? Selama saya
beragama Islam dengan beriman dan beralim, saya penuh keyakinan
bahawa Tuhan akan menyelamatkan saya daripada masalah-masalah dan
kerumitan dalam keluarga saya itu, terutama sekali masalah
kewangan yang telah kerapkali timbul. Saya berpuasa lima puluh
hari di musim Ramadhan, lebih daripada yang diwajibkan. Saya juga
tidak pernah meninggalkan lima kali sehari solat saya. Akan
tetapi ini semua seolah-olah tidak membawa apa-apa kesan dalam
keadaan keluarga saya itu.
Imbasan-kembali pertama yang
dibenarkan Tuhan kepada saya ialah apabila saya berusia dua-belas
tahun. Pada masa itu adalah musim hujan dan saya telah pergi
berdiri di tebing sebatang sungai di perkampungan saya. Air dalam
sungai sungguh deras kerana hujan yang sudah turun. Saya pun
mengalami perasaan yang amat kuat untuk menerjun kedalam arus
sungai yang deras itu. Tetapi apabila saya hampir-hampir
melompat, saya terasa bahu saya dipegang, dan tiba-tiba saya
kedengaran suara dari belakang saya yang berkata:
"Saya bersama-sama denganmu, janganlah kamu takut atau
khuatir." Apabila saya berpaling kebelakang, tiada
seorang pun yang berada disitu.
Imbasan-kembali kali kedua pula
berlaku apabila saya berumur dua-puluh satu tahun. Saya telah
mencuba mengambil nyawa saya sekali lagi. Kali ini saya telah
naik ketingkat yang tertinggi sebuah bangunan pencakar langit
di kota saya untuk melompat darinya. Saya hampir-hampir terjun
dari tingkat tertinggi bangunan itu apabila, sekali lagi, saya
kedengaran suara dari belakang saya yang berkata:
"Saya bersama-sama denganmu, janganlah kamu takut atau
khuatir." Kali ini pula saya terasa tangan diatas
kedua bahu-bahu saya, menghalang saya daripada melompat kebawah.
Apabila saya berpaling kebelakang, tiada seorang pun yang berada
disitu.
Setelah saya mengalami kedua-dua
imbasan kembali ini, saya menanyakan jelmaan 'Isa al-Masih yang
putih berseri itu -"Adakah suara yang mengatakan
kata-kata itu suara Kamu?" Dengan jelas sekali telah
kembali jawapannya:"Ya!"
Pada saat itu juga saya memeluk
penyelamatan dan penebusan yang dianugerahkan dalam Isa al-Masih.
Saya menyerahkan segala rancangan-rancangan hidup saya serta masa
depan saya kedalam tangan-Nya. Apabila saya membaca dan mengkaji
Kitab Suci Injil, saya berasa aman damai dan kelegaan yang saya
tidak pernah mengalami sebelumnya dengan mana-mana Kitab Suci
yang lain. Pengalamannya seperti air hidup yang datang
mencurah-curah diatas jiwa saya yang tandus kehausan dan
menghilangkan segala kehausan dan ketandusan rohani yang sehingga
saat itu begitu mengeciwakan sekali.
Selepas itu, saya telah pindah
keluar dari rumah untuk mengelak daripada situasi yang tegang dan
kurang aman setelah ibu saya mendapat tahu mengenai keadaan baru
saya. Walau pun begitu, selepas dua minggu ahli keluarga saya
telah mengajak saya kembali ke rumah untuk makan malam. Saya pun
menerima jemputan mereka dengan hati terbuka tanpa apa-apa
kesangsian atau syak wasangka. Padahal, ahli keluarga saya telah
meracuni makanan yang diberikan kepada saya. Walau bagaimanapun,
Tuhan mahakuasa akan membenarkan saya menjamah makanan itu tetapi
ia tidak membawa apa-apa kesan buruk keatas saya, puji Tuhan
Mahakuasa! Akhir kata, keluarga saya telah cuba beberapa kali
untuk membunuh saya, tetapi setiap kali Tuhan mahakuasa akan
mendedahkannya kepada saya dan saya berjaya melarikan diri.
Pada hari ini, saya sungguh
gembira berkhidmat dalam pelayanan Tuhan sepenuh masa. Dia telah
membuka jalan untuk saya melayanani-Nya di negeri Malaysia,
Indonesia, Filipina, New Zealand, Australia dan juga di
Singapura. Pelayanan-Nya yang saya melibatkan diri ialah dalam
bidang penyembuhan dan memberitakan khabar baik-Nya bagi mereka
yang memerlukannya. Kini saya kenal kuasa Tuhan Mahakuasa yang
hidup dan benar walhal sebelumnya saya tidak, segala puji
dan kemuliaan kepada Tuhanku dan Pembelaku yang Agung!
Indeks Utama