返回总目录
'Korupsi Teks' - Teori Tidak Pasti
Bilakah Kononnya Berlaku Pemindaan Kitab Suci Injil ?
- Pengakuan Tokoh-tokoh Islam dan Kesaksian Sejarah
Tuduhan bahawa teks firman Tuhan telah sengaja diubahkan dinamakan
"Tahrif-i-lafzi". Ramai orang Muslim terikut-ikut hujah polemis Islam
Zaman Pertengahan ini, yang sebenarnya tanpa apa-apa dasar yang kuat dan tanpa
apa-apa bukti-bukti yang kukuh. Tahukah anda bahawa terdapat tokoh-tokoh dan
pemikir Islam yang sudah mengkaji dan berfikir dakwaan ini semasak-masaknya?
Tokoh-tokoh ini mengakui bahawa dakwaan keatas umat Yahudi maupun Kristian ini
tidak dapat dibuktikan dengan muktamadnya! Misalnya Tuan Sayyid Ahmad Khan,
Pengasas Kolej Aligarh, Pakistan, telah tulis bahawa:
"Pada pendapat kami para Muslim, tidak ada apa-apa bukti bahawa korupsi
teks Kitab-kitab Suci ('tahrif-i-lafzi') telah berlaku."
Tuan Sayyid ini telah memetik daripada dua tokoh Islam sebagai mendukung pernyataan
beliau ini : Imam Bukhari dan juga Fakharuddin Razi .
Fakharuddin Razi mengutip daripada Ibni Abbas, seorang anak saudara
Nabi Muhammad, bahawa:
"Umat Yahudi dan umat Kristian awal disyaki mengubah teks Taurat dan Injil.
Tetapi menurut pendapat tokoh-tokoh dan ulamak Islam perbuatan ini adalah tidak
mungkin, Kerana Kitab-kitab itu sudah pun dikenali ramai dimuka umum dan juga
sudah tersebar amat luas. Juga mereka telah diwarisi oleh satu generasi ke generasi
yang berikutnya."
Kesaksian ini benar. Dan juga terdapat bukti-bukti kukuh yang menyokong penyataan
ini. Kami minta para pembaca untuk memberi cukup masa berfikir dan merenunginya
semasak-masaknya. Jika seekor ibu ayam yang sudah bertelur dengan cepatnya meninggalkan
telur-telurnya, tidak mungkinlah telur-telur itu akan menetas. Dalam cara yang
sama, minda yang tidak mahu meneliti kesemua fakta-fakta dan bukti semasak-masaknya,
tidak akan mencapai hakikat yang sebenarnya.
Kita bermula dengan meneliti petikan-petikan dari tokoh-tokoh Islam.
Pengakuan Tokoh-tokoh dan Ulamak Islam
Muhammad Abduh (Mesir 1849-1905) mengakui bahawa:
"Tuduhan korupsi/pemindaan teks Kitab Injil sesungguhnya tidak berasas
sekali. Adalah MUSTAHIL bagi umat Yahudi dan Kristian di merata tempat berkomplot
dan bersubahat meminda dan mengubahsuai teks Kitab-kitab Suci mereka. Walau
pun andainya mereka di tanah Arab telah melakukannya, perbedaan diantara kitab-kitab
mereka dan kitab-kitab umat Nasrani Kristian di tempat lain-misalnya di Eropah
dan di Syam akan berbeda secara begitu jelas ketara."
Muhammad Abduh adalah seorang tokoh ilmu tauhid yang telah mengajar di Universiti
Al-Azhar di Kaherah, Mesir.
Maulawi Muhammad Said (Pakistan) telah berkata:
"Ada orang Muslim yang berhemat bahawa Kitab Injil telah di dipinda dan
diubahsuai. Tetapi sebaliknya TIDAK SATU AYAT AL-QURAN PUN yang menyatakan Kitab
Injil atau Taurat telah dikorupsikan. Ada ayat-ayat yang mengatakan yang orang
Yahudi telah menukar maksud dan makna sesuatu ayat semasa memberi keterangan
mereka -tetapi BUKAN umat Kristian yang telah buat korupsi begitu! Jadi, umat
Kristian adalah tidak bersalah dari tuduhan ini! Kesimpulannya, teks Injil dan
Taurat tidaklah diubahsaui."
Sayyid Ahmad Husayn Shawkat Mirthi:
"Umat Islam telah diperdayakan oleh khabar angin yang menonjolkan kononnya
Kitab Injil telah diubahkan/korupkan. Tetapi mereka tidak dapat membuktikan
mana-mana ayat yang telah diubah, bila waktunya, dan siapakah yang melakukannya.
Adakah umat di muka bumi ini yang begitu terkutuk sehingga mereka mampu menghapuskan
Kitab Allah mereka dengan tangan mereka sendiri..?? Dakwaan bahawa Tuhan telah
memansuhkan Kitab Injil dan Taurat serta mengembalikan kedua-duanya ke syurga
adalah satu tindakan mendustai dan mengingkari Allah."
Sesungguhnya terdapat ramai tokoh-tokoh dan pemikir-pemikir Islam agung lain
yang telah menerima dan mengakui kesahihan teks Injil dan Perjanjian Baru. Untuk
menghuraikan nama-nama mereka disini adalah sesuai bagi karangan ini. Kesaksian
mereka membuktikan bahawa dialog di antara para Muslim dan Kristian tidak usah
dibelenggui oleh tuduhan yang telah dipelopori oleh Ibn-Khazem -seorang polemis
Islam dari zaman pertengahan.
Dua ahli sejarah Islam yang agung, Al-Mas'udi (meninggal 956 T.M.) dan Ibn-Khaldun
(meninggal 1406 T.M.) telah memegang kepada kesahihan teks Al-Injil.
Empat orang ahli ulamak yang terkenal pun telah menyetujui hakikat ini: Ali
at-Tabari (meninggal 855 T.M.), Qasim al-Khasani (meninggal 860 T.M.), 'Amr
al-Ghakhiz (869 T.M.) dan tokoh yang terutama, imam Al-Ghazzali (1111 T.M.).
Pandangan ini pula disokong oleh Abu Ali Husain Ibn Sina, lebih dikenali di
Barat sebagai 'Avicenna' (m. 1037 T.M.).
Al-Bukhari (m.870 T.M.) yang terkenal kerana mengumpulkan hadith-hadith
yang terawal, telah memetik daripada Al-Qur'an sendiri (Surah Ali-Imran 3 ay.72,78)
bagi membuktikan bahawa teks Al-Kitab Al-Mukaddis, yakni Kitab Injil, tidak
pernah dipalsukan.
Akhir kata, seorang tokoh Muslim terkemuka di zaman moden, Muhammad Abduh,
Sayyid Ahmad Khan, seorang 'ulamak Islam moden' yang telah menerajui pembaharuan
sosial pada era moden ini, telah menerima keputusan-keputusan sains moden. Beliau
telah berkata:
"Bersabit dengan teks Al-Kitab (Bible), ia tidak mengalami apa-apa
perubahan. Juga tiada sesiapa yang dapat mengemukakan sesuatu teks (alternatif)
yang berbeza sebagai teks yang sahih".
Bersyukurlah kepada Tuhan kerana kesaksian yang jujur tokoh-tokoh ini!
Jadi, bilakah konon berlakunya pemindaan Kitab Suci Injil ?
Untuk mencari jawaban yang munasabah bagi soalan ini, Umat Kristian berhak
bertanya beberapa soalan sampingan penting yang berkaitan dan bersabit dengan
perkara pokok itu. Yaitu :
1] Jika kononnya Al-Kitab mereka pernah diubah, bilakah, dimanakah
DAN bagaimanakah berlakunya perkara ini ?
2] Jikalau Isa Al-Masih sudah mengambil Kitab Suci Injil baginda kembali bersama
baginda ke Syurga, kononnya, apakah tujuan ketanzilannya sebelum
itu ?
3] Kenapakah umat Manusia terabai tanpa apa-apa bimbingan sehingga munculnya
Muhammad, dengan kononnya 'kehilangan Kitab Suci Injil' itu ?
4] Al-Quran sendiri telah mengakui bahawa Hazrat Isa Al-Masih "telah
belajar Taurat dan Injilnya" menurut Surah 5 ayat 11. Dari pengakuan
ini, serta nas-nas al-Quran yang lain menunjukkan bahawa kedua-dua Kitab
Taurat dan Injil bukan saja wujud dalam zaman nabi Muhammad, malah
telah dibacakan dan diimani umat Kristian sebelum zaman beliau.
Jadi, jika terdapat apa-apa perubahan dalam kitab-kitab tersebut, ia harus berlaku
selepas pemergian nabi Muhammad.
5] Apakah Allah itu tidak berkuasa ke atas firman-Nya? Kenapa dibenarkan
ciptaan-Nya sehingga dapat meminda dan bertukar-tukar firman Tuhan yang digelar
"Maha Kuasa" itu !? Sudah jelas dengan hujah tersebut, ciptaan
Tuhan itu (Manusia) memiliki lebih kuasa dan berupaya untuk menidakkan dan mengubahkan
kata-kata Tuhan-Penciptanya!
6] Apa pula dengan nas al-Quran yang tuntut bahwa 'Tiadalah yang mengubah kalimat-Nya'
Surah 6/115, atau 'Tiada bertukar-tukar kalimat (firman) Allah..' - surah 10/64
dan 'Kami (Tuhan) memeliharanya (firmanNya) (dari segala pemindaan).' - surah
15/9. Jelaslah hujah teori 'pemindaan kepada teks Injil sebagai firman Allah'
itu bercanggah dan bertentangan secara terus-terang dengan nas al-Quran.
Walau bagaimanapun, penelitian yang ringkas keatas sejarah kitab-kitab tersebut
akan dengan jelas menunjukkan bahawa Kitab Suci umat-umat Yahudi dan Kristian
sezaman dengan nabi Islam Muhammad ADALAH SAMA DENGAN KITAB-KITAB SUCI YANG
MEREKA TELAH MILIKI SEBELUM kemunculan Nabi Islam.
Pengkajian menurut sumber-sumber sejarah seterusnya akan dengan jelas membuktikan
kesahihan Kitab Al-Mukaddis yakni Kitab Suci Injil, yang terpelihara daripada
macam-macam 'korupsi' pemindaan dan lain-lain tuduhan melulu.
Pada tahun 90 TM, lebih daripada lima ratus tahun sebelum kemunculan al-Quran,
alim-ulamak Umat Yahudi telah bersidang di Sinod (Majlis) Jamnia. Di
sini mereka telah mengesahkan dan menegakkan Kitab-kitab Taurat, Zabur dan Nabi-nabi
sebagai sah dan berwibawa, tidak tecela oleh pemindaan atau perubahan manusia.
Sudah terbuktilah pada abad itu bahawa Kitab Taurat tidak mengalami apa-apa
perubahan dan ini disokong dengan perjumpaan Skrol-skrol (masahif) Laut Mati
pada tahun 1947 dan telah dikajiselidik dengan mendalam serta cukup panjang
dan lebar.
Umat Samarii (Samaritans) yang telah wujud di tanah Palestin dan Jordan
berkurun-kurun sehingga ke hari ini, hanya mengakui Taurat sebagai Kitab berwibawa
dan sah mereka. Mereka tidak menerima apa-apa Kitab yang ditulis selepas tahun
722 SM, yakni tahun kejatuhan Kota Samaria. Ini berarti Kitab Pentateuch yaitu
Taurat yang ada pada kita hari ini sudah pun wujud pada kurun itu. Sinod Jamnia
telah menolak segala masahif Kitabiah yang ditulis selepas tahun 400 SM. - Ini
bererti segala-gala Kitab-kitab, buku-buku dan tulisan dalam Perjanjian Lama
(Old Testament) Al-Kitab sudah wujud DAN diperakui DAN disahkan Umat Yahudi
pada 90 TM.
Tidak ada bukti menunjukkan mana-mana kelompok Yahudi sehingga ke era Kristian
yang mempersoalkan kesahihan Perjanjian Lama dalam Al-Kitab. Sebaliknya, Hazrat
Isa al-Masih sendiri mendukung kesahihan Perjanjian Lama dalam kata-kata
baginda seperti berikut:
"Lalu Hazrat Isa menerangkan kepada mereka apa yang tertulis
tentang-Nya daripada Kitab-kitab Musa dan para Nabi dalam Kitab Suci."
Kemudian, Dia berkata kepada mereka, 'Inilah perkara-perkara yang telah Aku
katakan kepadamu semasa Aku masih bersama-sama denganmu dahulu: Segala
perkara yang tertulis tentang Aku dalam Taurat Musa, Kitab-kitab
Nabi dan Mazmur (Zabur) pasti akan berlaku.'"
Lukas 24 : 27 & 44
Tidak dapat apa-apa dalil langsung yang menunjukkan mana-mana kumpulan Yahudi
di Palestin pada zaman Kristian-yakni pada zaman Almasih, telah mencurigai dan
mencabar kewibawaan Taurat (yaitu Perjanjian Lama); bandingkan dengan kata-kata
Isa sendiri di atas. Hakikatnya ialah : Injil bersaksi bahawa ia adalah kemakbulan
segala-gala nubuat-nubuat dan pembayang yang wujud di dalam Taurat (Perjanjian
Lama), ini pula menunjukkan bahawa kewibawaan Taurat sudah pun diterima dan
diakui ramai dengan ketaranya di kalangan umat Yahudi, pada abad pertama Tahun
Masehi. Jika ada apa-apa pencerobohan kepada kesahihan Kitab Taurat di zaman
itu, sudah tentu umat Kristian akan mendedahkannya sebagai penyelewengan,
dan juga benar jika sebaliknya.
Bersabit dengan Injil (yakni Perjanjian Baru dalam Alkitab) pula,
tidak ada bukti-bukti yang kukuh atau meyakinkan yang dapat menunjukkan apa-apa
pemindaan atau perubahan yang telah dibuat keatas Kitab Injil oleh siapa,
di mana, bila ia telah diubah, dan bagaimana
perubahan-perubahan tersebut telah berlaku. Satu lagi hakikat yang amat menarik
juga ialah kumpulan pembidaah Arian sendiri tidak pernah membuat bantahan
atau tuduhan-tuduhan itu. Walaupun mereka boleh buat tuduhan tersebut baik pada
persidangan Majlis Nicea pada TM 325 atau pun di persidangan Majlis Chalcedon
pada TM 451! Tetapi mereka tidak pernah buat begitu !
Mushaf Kitab Suci Injil yang tertua hari ini adalah koleksi papyrus
yang mengandungi Injil Yohanes 18, berasal daripada Mesir. Kini mushaf itu disimpan
di Perpustakaan John Rylands, Manchester University. Koleksi ini bertarikh dari
tahun 135 Tahun Masehi. Kesemua dua-puluh tujuh Buku yang dikenali sebagai Perjanjian
Baru hari ini, sudah pun lengkap dan termaktub sebagai satu
Kitab sebelum akhir abad kedua Tahun Masehi.
Ada tiga hakikat penting yang harus diambil-kira oleh sesiapa yang mengkaji
sejarah Mushaf-mushaf Kitab Suci Injil :
1) Ramai daripada generasi terawal umat Kristian-para hawarii dan pengikut-pengikut
pertama Hazrat Isa, masih HIDUP pada permulaan Abad Masehi yang kedua, dan juga
sudah tentu, anak-anak mereka. Mereka semua ini adalah saksi-saksi hidup
kepada pengajaran dan kehidupan Isa Almasih. Jika terdapat apa-apa penyelewengan
dalam rekod ajaran, kehidupan dan peristiwa-peristiwa yang menyusul bersama-sama
Isa Almasih itu, sudah tentu bantahan-bantahan akan ditimbul oleh saksi-saksi
hidup ini!
2) Kitab-kitab ini, termasuk salinan-salinan mereka, sudah pun tersebar
luas di sekitar jajahan-jajahan disekeliling Laut Mediterranean.
Jika terdapat apa-apa penyelewengan pada kandungan Kitab Suci Injil itu, sudah
pasti mereka akan dapat dikesan dan diketahui oleh umat-umat dan pengikut
Kristian di kawasan-kawasan yang lain. Dan ia akan dicabar untuk ditentukan
kesahihannya secukup-cukupnya.
3) Jikalau umat Kristian yang terawal telah membidaah ajaran Hazrat 'Isa yang
asli, dan menyebarkan penyelewengan mereka pula, mereka akan terpaksa merahasiakan
ajaran 'Isa yang asal itu. Untuk mencapai perahsiaan begini, sekurang-kurangnya
mereka memerlukan persubahatan daripada kuasa penjajah di zaman itu! Sebaliknya,
umat Kristian pada abad pertama sampai ke abad ketiga, tidak pernah menerima
pertolongan apa-apa dari kuasa Roma di zaman mereka, tetapi
sebaliknya, mereka telah dianiaya dan ditindas sekeras-kerasnya di
bawah Empayar Rum. Bukan saja umat Kristian tidak menerima apa-apa pertolongan
atau 'persubahatan' dari kerajaan Rum, ajaran Injil umat Kristian begitu bercanggah
dengan agama Roma dengan berhala-berhala dan penyembahan maharaja mereka. Sesungguhnya
catatan sejarah melalui Gabenor Pliny, seorang Gabenor Roma di jajahan Bythinia
(kini Turki moden), mencatatkan pada 112 Tahun Masehi, bahawa umat Kristian
telah mengakui ketuhanan 'Isa Almasih dari permulaan umat Kristian lagi.
Ini secocok dan serasi dengan lunas-lunas Injil yang terawal. Sudah jelas
bahawa Kitab Suci Injil sudah pun dikenali luas dan diketahui ajaran-ajarannya
pada akhir abad yang pertama Tahun Masehi.
Jadi, tidak bergunalah bagi segelintir pentafsir-pentafsir Islam untuk mengutuk
dan membawa macam-macam tuduhan dan tohmahan keatas Kitab Suci Injil dan kesahihannya.
Sudah jelas bahawa kesaksian sejarah dan kebenaran tidak memihak dengan mereka.
Tokoh-tokoh Islam lain yang lebih berhemat dan memiliki lebih hikmat daripada
segelintir pendakwah dan 'misionari' ini, pun tidak bersetuju dengan
pendapat-pendapat serong lagi sempit mereka. Nama beberapa tokoh-tokoh Islam
tersebut ada dihurai di permulaan rencana ini. Sudah jelas bahawa tuduhan-tuduhan
pendakwah dan misionari itu adalah tidak berasas, lagi tidak munasabah
dan juga amat buta sejarah.
Indeks Utama