返回总目录
PRINSIP DUA: Dosa Mengasingkan Kita Dari Allah
PRINSIP KEDUA:
Dosa
Mengasingkan dan Menghalangi Kita Dari Allah
Masalah paling utama kita ialah walaupun Allah adalah keperluan terulung
dalam hidup kita, manusia menghadapi satu dilema yang amat merumitkan,
dan dilema inilah merupakan Prinsip 2: Dosa mengasingkan
kita dari nikmat hadirat Allah dan semua berkat yang mengiringi perhubungan
ini. Prinsip ini membuat kita mengakui bahawa dosa kita wujud
dan kita semua mengalami akibatnya yang dahsyat.
Ada banyak aspek prinsip ini yang dapat membantu kita mengadakan diskusi
yang mendalam dan bererti. Tetapi kita mesti bermula dengan isu-isu mendasar.
Titik permulaan bagi prinsip ini ialah "khabar pahit." Walaupun kita mahu
menikmati cahaya Allah, kita bersua dengan satu masalah besar yang menghalang
kita dari mencapainya. Masalah ini ialah masalah dosa. Itulah khabar
pahit yang saya maksudkan. Ada banyak petikan dalam Alkitab dan Al-Quran
yang memberi kesedaran tentang dilema dosa ini.
Taurat
Tetapi yang merupakan pemisah antara kamu dan Allahmu ialah segala
kejahatanmu, dan membuat Dia menyembunyikan diri terhadap kamu, sehingga
Ia tidak mendengar, ialah segala dosamu.
(Yesaya 59:2)
Zabur
Seandainya ada niat jahat di dalam hatiku, tentulah Tuhan tidak mahu
mendengar.
(Mazmur 66:18)
Injil
Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, maka kita membuat Dia
menjadi pendusta dan firmanNya tidak ada di dalam kita.
(1 Yohanes 1:10)
Al-Quran
Ya, barangsiapa mengerjakan kejahatan dan telah meliputi kesalahan
itu, maka mereka itu penuhi neraka, sedang mereka kekal di dalamnya.
(Surah Al-Baqarah 2:81)
Ayat dari Al-Quran ini mempunyai maksud yang sama dengan ayat dari Injil
yang berbunyi, "Upah dosa adalah maut" (Injil, Roma 6:23). Apabila kita
berdosa kita menerima "upahnya" yang sesuai dengan akibat-akibat buruknya
yang akan mengikuti. Surah Al-Baqarah 2:81 berkata bahawa orang berdosa
dikelilingi dan dikuasai oleh dosa-dosanya. Jadi dia akan masuk ke
neraka. Manusia diciptakan untuk menghayati perhubungan yang kekal serta
akrab bersama Allah. Tetapi manusia dengan keras kepalanya telah memutus
untuk meninggalkan Allah dan mengikut jalannya sendiri. Alkitab memanggil
ini sebagai pemberontakan, penolakan, serta beberapa nama-nama
lain termasuk dosa, ketidaksetiaan dan melanggar hukum Allah.
Apakah perbezaan di antara pemberontakan aktif dan penolakan pasif terhadap
Allah? Mengapa, mengikut pendapat anda, penolakan pasif juga dikira sebagai
dosa? Menurut pendapat anda mana yang lebih biasa: pemberontakan aktif
atau penolakan pasif terhadap Allah? Ini adalah soalan-soalan yang bagus
bagi kita memikirkan. Tetapi hakikat paling utama ialah kesedaran akan
kewujudan Dosa serta akibat-akibat Dosa seperti terhurai di atas.
Dosa ini bukan hanya berita buruk ia adalah berita yang paling buruk.
Mengapa? Kerana dosa mengasingkan kita daripada Allah. Akibat pengasingan
ini, kita dikuasai perasaan-perasaan seperti takut, kehampaan, kekosongan,
serba-salah, hilang arah tujuan, tidak damai dan gelisah. Jika kita mengejar
dosa secara aktif, ini menunjukkan kita sudah ketagih, bahawa kita sedang
mengejar tabiat-tabiat yang memusnahkan kita, yang merupakan tanda kita
sudah dijangkiti penyakit. Tetapi ada juga di antara kita yang menolak
jalan Allah, dengan cara ini kita telah mengangkat diri kita sebagai Allah,
contohnya sebagai penentu muktamad dalam apa yang betul dan salah.
Kebanyakan orang cuba berdalih tentang dosa. Mereka lebih senang berfikir
bahawa dosa mereka itu hanya satu kesalahan atau kesilapan. Ramai orang
tidak percaya manusia itu berdosa, tetapi menganggap manusia pada amnya
adalah baik. Jika ini pandangan anda, saya berharap ayat-ayat firman Tuhan
yang telah tertera disini serta keterangan yang telah diberi setakat ini
akan mencabar fahaman kamu.
Jika anda setuju bahawa manusia akan dihukum sesuai dengan dosa yang
telah mereka lakukan, ayat-ayat berikut mungkin tidak perlu dibaca. Walaupun
begitu adalah baik anda mengambil sedikit masa untuk memerhatikan apa yang
tertulis dalam kitab-kitab suci Allah tentang hakikat ini.
Taurat
Apabila mereka berdosa kepadaMu karena tidak ada manusia yang tidak
berdosa dan Engkau murka kepada mereka dan menyerahkan mereka kepada
musuh, sehingga mereka diangkut tertawan ke negeri musuh yang jauh atau
yang dekat.
(1 Raja-Raja 8:46)
Zabur
Sebab aku sendiri sedar akan pelanggaranku, aku senantiasa bergumul
dengan dosaku."
(Mazmur 51:5)
Injil
Jika kita berkata, bahawa kita tidak berdosa, maka kita menipu diri
kita sendiri dan kebenaran tidak ada di dalam kita.
(1 Yohanes 1:8)
Al-Quran
Sesungguhnya untuk orang-orang yang aniaya ada sebahagian seksa,
seumpama bahagian teman-temannya, maka janganlah mereka meminta segerakan
(seksa itu). Maka celakalah bagi orang-orang kafir pada hari yang dijanjikan
kepada mereka.
(Surah Az-Zariyaat 51:59-60)
Masing-masingnya Kami seksa, kerana dosanya; di antara mereka ada yang
kami kirim kepadanya angin taufan (yang mengandungi pasir) dan di antara
mereka ada yang diseksa oleh teriakan yang kuat (terus mati) dan di antara
mereka ada yang kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang
kami tenggelamkan (dalam laut). Allah tiada menganiaya mereka, tetapi merekalah
yang menganiaya diri mereka sendiri.
(Surah Al-Ankabuut 29:40)
Dua petikan dari Al-Quran ini mempunyai banyak maklumat tentang peralihan
dari dosa ke penghukumannya. Surah Az-Zariyaat 51:59-60 menyatakan bahawa
mereka yang jahat dan yang melakukan kejahatan akan dihukum. Kita tidak
perlu mendesak Allah menghukum mereka kerana sudah disediakan satu hari
yang dahsyat di mana Allah akan mulai menghukumi mereka. Dalam Surah Al-Ankabuut
29:40 kita melihat bahawa Allah akan menangkap setiap orang mengikut dosa-dosa
yang telah mereka lakukan. Ada di antara orang yang dinyatakan dalam ayat
ini yang dilontar dengan batu dan yang lain dicengkam pelbagai jenis wabak
penyakit. Ada yang ditelan oleh bumi, ada yang mati lemas. Kenyataan di
sini ialah bahawa Allah akan mengambil tindakan ke atas dosa-dosa kita.
Setiap orang akan dihukum Allah sesuai dengan perbuatannya, dan Allah tidak
akan silap apabila Dia menghukum manusia yang berdosa. Sebaliknya manusia
yang berdosa menyalahkan dirinya sendiri dengan berdosa yang akhirnya akan
menghasilkan akibah hukuman yang dahsyat.
Ada orang berkata bahawa tidak ada konsep dosa dalam Al-Quran. Akan
tetapi ayat-ayat Al-Quran yang baru sahaja dibaca menafikan tuduhan itu.
Ayat-ayat Al-Quran ini menekankan akibat-akibat dosa. Di sini saya huraikan
beberapa lagi nas-nas dari Al-Quran untuk membantu anda memahami kebenaran
ini bahawa semua manusia sudah pun dicemari dosa.
Al-Quran
(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya
Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas bumi (Adam). Maka jawab mereka
itu: Adakah patut Engkau jadikan di atas bumi orang yang akan berbuat bencana
dan menumpahkan darah, sedang kami tasbih memuji Engkau dan menyucikan
Engkau?
(Surah Al-Baqarah 2:30)
Dalam ayat ini Allah memberitahu malaikat-malaikat sebelum Taman Firdaus
diciptakan bahawa Dia akan meletakkan seorang di atas bumi untuk mewakili
Dia, iaitu manusia. "Apa?" jawab para malaikat. "Tetapi manusia akan
memusnahkan dunia dengan dosa mereka."
Al-Quran
Kemudian Adam memperoleh beberapa kalimat dari Tuhannya (ia minta
ampun), lalu Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Dia Penerima taubat
lagi Penyayang.
(Surah Al-Baqarah 2:37)
Keduanya berkata: Ya Tuhan Kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri
dan jika tidak Engkau ampuni kesalahan kami dan tidak Engkau mengasihi
kami tentulah kami orang yang merugi.
(Surah Al-Raaf 7:23)
Tidak ada apa-apa penyataan dalam ayat-ayat setakat ini tentang perbuatan-perbuatan
pahala yang akan menyelamatkan kita dari dosa kita. Ayat-ayat ini menyatakan
kita berdosa dan jika Allah tidak mengampuni dan menyelamatkan kita, kita
akan tanggung akibahnya buat selamanya. Hakikat dosa ini sudah jelas nampak
di dalam Al-Quran. Ada orang menyatakan bahawa kononnya gereja Kristian
menciptakan konsep dosa ini supaya Isa Al-Masih diperlukan sebagai Penyelamat.
Jauh sekali! Kerana Nabi Muhammad sendiri menjadi saksi yang menentang
ajuan ini.
Lalu keduanya memakan ubat itu, maka kelihatanlah kemaluan (aurat)
keduanya, lalu keduanya menutupinya dengan daun pohon kayu syurga. Dan
Adam mendurhakai Tuhannya, lalu ia jahil (tersesat dan tercela).
(Surah Taahaa 20:121)
Sesungguhnya telah Kami unjukkan amanah ( perintah) kepada langit, bumi
dan gunung-gunung, lalu mereka enggan memikulnya dan takut menerimanya,
kemudian amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu aniaya
lagi jahil (tiada berilmu lagi dicemari dosa).
(Surah Al-Ahzab 33:72)
Kedua-dua ayat ini mengesahkan penyataan Injil dalam Roma 3:23. Ayat-ayat
di atas dengan jelas menekankan keadaan semua manusia yang tercemar dan
berdosa. Mari kita perhatikan beberapa lagi ayat dari Al-Quran, kitab berautoriti
umat Islam.
(Adat mereka itu) seperti ada keluarga Firaun dan orang2 yang sebelumnya.
Mereka itu mendustakan ayat2 Kami lalu Allah menyeksa mereka, sebab dosanya
dan Allah sangat keras siksaanNya.
(Surah Ali ‘Imran 3:11)
Lalu mereka ditimpa kejahatan (balasan) perbuatan mereka dan turunlah
kepada mereka (seksaan) yang mereka perolok-olokkan.
(Surah An-Nahl 16:34)
Kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa dosa-dosa manusia adalah seperti
alat 'boomerang'. Umat yang memasang perangkap jatuh dalam perangkap
mereka sendiri. Dosa-dosa kita akan memerangkap kita. Jika tidak mengambil
berat tentang hakikat dosa ini, dosa yang sama itu akan menumpaskan kita.
Celakalah untuk tiap-tiap orang pembohong lagi berdosa. Ia mendengar
ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya, kemudian ia tetap menyombongkan diri,
seolah-olah ia tidak mendengarkannya. Maka berilah ia khabar dengan seksaan
yang pedih.
(Surah Al-Jaatsiyah 45:7-8)
Sesudah membaca setakat ini, saya harap anda sudah sedia untuk mengakui
bahawa dosa itu satu realiti satu realiti yang mempengaruhi manusia sejagat.
Mari kita perhatikan sejenak realiti dosa ini. Sebagai seorang Muslim,
satu dimensi dosa yang dititik beratkan ialah kesucian atau mengelakkan
diri dari apa-apa yang menajiskan. Sebagai seorang Muslim saya percaya
anda sedar akan kepentingnya untuk hidup secara "bersih." Tetapi seperti
yang telah dinyatakan oleh Al-Masih Isa, yang lebih penting ialah
supaya kita suci secara batin (dari dalam) (Injil, Matius 23:25-28)
dan bukanlah pada setakat zahiriah (yang dapat dinampakkan dari luar) sahaja.
Dalam pengajaran al-Masih Isa; tidaklah memadai sekiranya seorang itu pembunuh
hanya apabila dia menetak mangsanya dengan sebilah pedang samurai! Pembunuhan
itu sudah pun berlaku saat perasaan hasad dengki serta rasa pembencian
dirasakan terhadap seorang yang lain. Itulah takrifnya 'Dosa' menurut al-Masih
Isa ibnu Maryam! Sehingga seorang manusia itu dapat melihat dirinya kotor
dari dalam, dia tidak akan mempunyai kesedaran dosa yang sebenar, dan kerana
itu akan kurang yakin bahawa dia memerlukan keselamatan daripada Allah.
Apakah saudara dan saudari sedia mengakui bahawa anda memiliki pengaruh
dosa di dalam hidupmu ? Jika anda mengakui pernah berdosa, ingin saya bertanya
lagi: Apakah, menurut hemat anda, yang dapat mengubati semua akibat-akibat
dosa-dosa itu?
Indeks Utama